
MARUDI: Seramai 32 keluarga yang terjejas akibat banjir menerima bantuan segera berupa barangan makanan dan sumbangan wang tunai daripada Persatuan Sosial dan Kebajikan Masyarakat Long Bedian Miri yang diketuai oleh Ding Laing Jok, serta Persatuan Wanita Long Bedian Miri (BELAYEN) yang diketuai Caroline Using.
Keluarga-keluarga terbabit merupakan penduduk asal Long Bedian yang kini menetap di kawasan Padang Kerbau dan Pujut Sungai Adong, Miri.
Ketua Biro Perhubungan Awam Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Long Bedian, Jok Eng Jok berkata, ini merupakan kali pertama persatuan dari kawasan luar bandar mengambil inisiatif sebegini untuk membantu komuniti Long Bedian yang kini tinggal di bandar.
Menurutnya, pihak persatuan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ketua Kampung Long Bedian, KK Leslie Lah atas sokongan tidak berbelah bahagi yang diberikan sepanjang misi bantuan ini dijalankan.
“Kedua-dua persatuan telah menyatakan komitmen untuk menambah baik mekanisme bantuan pada masa akan datang dengan harapan dapat menjangkau lebih ramai ahli komuniti yang memerlukan, tanpa mengira lokasi,” jelasnya.
Jok menegaskan, inisiatif ini mencerminkan semangat “Peji, Peju, Pejoh” (Bersatu, Membangun dan Maju) yang terus menjadi pegangan dan nadi kehidupan masyarakat Long Bedian dalam menghadapi cabaran serta membina harapan untuk masa depan.
Tambahnya lagi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau turut melahirkan rasa bangga dan terharu serta menyokong penuh usaha murni ini.
Oleh Jiku Juguong