GENEVA: Sekurang-kurangnya 3,000 jururawat meninggal dunia kerana dijangkiti Covid-19, menurut Persekutuan Kejururawatan Global, semalam.
Angka itu sekali gus memberi amaran ancaman ramai bahawa petugas kesihatan trauma disebabkan penularan wabak pandemik itu.
Setahun sejak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pertama kali mengesahkan Covid-19 sebagai wabak, Majlis Jururawat Antarabangsa (ICN) mendedahkan keletihan dan tekanan adalah punca jutaan jururawat mempertimbang untuk berhenti kerja.
ICN memberi amaran bahawa selepas pandemik berakhir, jururawat berpengalaman semakin berkurangan bagi menggalas tugas penjagaan biasa di hospital yang tertangguh akibat krisis pandemik berkenaan.
Menurut ICN, angka kematian jururawat akibat wabak itu adalah rangkuman daripada 60 negara dan ia mungkin kiraan kasar daripada jumlah keseluruhan.
Ketua Eksekutif ICN, Howard Catton, berkata jururawat mengalami ‘trauma besar-besaran’ ketika pandemik, terpaksa bekerja sehingga mereka letih secara fizikal dan mental
“Mereka mencapai satu tahap di mana mereka sudah lakukan apa yang terdaya,” katanya kepada pemberita.
Catton berkata, bilangan jururawat di seluruh dunia ialah seramai 27 juta, kekurangan enam juta apabila pandemik berlaku dan empat juta bakal bersara menjelang 2030.
ICN dalam satu laporan mengatakan, pandemik Covid-19 boleh menyebabkan langkah berhenti kerja beramai-ramai daripada kerjaya itu, seawal pertengahan tahun ini.
Menurut laporan itu lagi, jumlah jururawat global akan berkurangan sehingga hampir 13 juta orang.
“Kita kemungkinan boleh berada dalam situasi meruncing,” katanya sambil menambah ia memerlukan latihan selama tiga hingga empat tahun untuk melahirkan jururawat baharu.
Catton berkata, jururawat menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik sekali untuk memimpin dunia mendepani pandemik ini.
“Mereka akan berkongsi platform setara dengan pencipta vaksin dalam sejarah Covid-19.Namun sebaik sahaja pandemik ini berlalu, jururawat perlu berdepan keperluan jagaan kesihatan yang belum dipenuhi dan senarai menunggu, di samping berdepan kemungkinan kekurangan tenaga kerja,” katanya.
Dalam pada itu, pemerhati ubat-ubatan Eropah mendedahkan hasil siasatan awal menunjukkan vaksin AstraZeneca yang digunakan di Austria bukan menjadi punca kematian seorang jururawat, selepas menerima suntikan.
Austria pada Isnin lalu mengumumkan pihaknya berhenti menggunakan dos vaksin yang dihasilkan oleh firma Britain-Sweden dengan Universiti Oxford, selepas jururawat berumur 49 tahun maut akibat ‘masalah darah beku yang teruk’ menerima suntikan vaksin Covid-19 beberapa dalam tempoh beberapa hari.
‘Mangsa kedua’ iaitu seorang wanita juga dirawat di hospital kerana mengalami embolisme paru-paru dan kini semakin pulih, kata Agensi Ubat Eropah (EMA).
Menurut EMA yang berpusat di Amsterdam, dua laporan lain mengenai ‘kes kejadian tromboenboli sudah menerima suntikan dari kumpulan ini’,
“Bagaimanapun, tidak ada petunjuk semasa sama ada vaksin itu adalah punca kepada keadaan berkenaan yang tidak disenaraikan sebagai kes sampingan selepas menerima vaksin”, menurut agensi itu dalam satu kenyataan.
Empat negara Kesatuan Eropah (EU) lain iaitu Estonia, Latvia, Lithuania dan Luxembourgh juga menggantung program vaksinasi dari kumpulan vaksin berkenaan.
Kumpulan vaksin berkenaan turut dihantar ke 17 negara Eropah dan mengandungi jutaan suntikan.
“Walaupun kecacatan pada kualiti dianggap tidak mungkin berlaku pada tahap ini, kualiti kumpulan vaksin itu sedang disiasat,” kata EMA.
Sejak kempen inokulasi bermula, terdapat kes terpencil dilaporkan di beberapa negara apabila ada yang meninggal dunia sejurus menerima vaksin.
Tiada kes yang dikaitkan dengan vaksin Covid-19. – AFP