Terlanggar lubang jalan, penunggang Honda EX5 cedera dalam kemalangan kendiri

Facebook
WhatsApp
SEORANG lelaki tempatan berusia 49 tahun cedera selepas motosikal Honda EX5 yang ditunggangnya hilang kawalan sebelum terbabas dalam kemalangan kendiri di Jalan Bungin-Serembang. Foto: APM Spaoh

SPAOH, 6 Oktober: Hasrat seorang lelaki untuk ke tempat kerja pada awal pagi bertukar detik cemas apabila motosikal ditungganginya hilang kawalan selepas terlanggar lubang jalan sebelum terbabas di Jalan Bungin-Serembang, di sini, pagi tadi.

Menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Spaoh, kejadian membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda EX5.

Kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan menuju ke tempat kerja sebelum motosikalnya dipercayai melanggar sebuah lubang di laluan berkenaan.

Impak tersebut menyebabkan motosikal hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh ke bahu jalan.

Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM Daerah Spaoh menerima panggilan kecemasan daripada seorang pengguna jalan raya pada 8.34 pagi.

Pengguna jalan raya berkenaan yang kebetulan melalui lokasi kejadian ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja segera menghubungi talian kecemasan APM Spaoh selepas menyedari kemalangan tersebut.

Susulan panggilan itu, Skuad Charlie APM yang diketuai Sarjan Kamarrul Badarudin bersama tiga anggota lain dikejarkan ke lokasi bagi menjalankan tindakan menyelamat dan memberikan bantuan kecemasan.

Setibanya di lokasi, anggota APM mendapati mangsa mengalami kecederaan pada tangan kiri selain luka ringan di bahagian kening, muka dan dagu sebelah kiri.

Anggota APM kemudian memberikan rawatan awal dengan memasang splint pada bahagian tangan yang cedera bagi mengurangkan pergerakan, selain memasang pendakap leher (cervical collar) sebagai langkah keselamatan terhadap bahagian leher mangsa.

Mangsa yang dilaporkan berada dalam keadaan stabil kemudiannya dihantar ke Klinik Kesihatan Spaoh menggunakan ambulans bagi mendapatkan rawatan serta pemeriksaan lanjut.

APM Spaoh turut menasihatkan orang ramai supaya menghubungi talian 083-473006 atau talian kecemasan 999 sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

Oleh Adi Safarman