SARATOK, 6 Oktober: Usaha memperkukuh kemudahan asas dan infrastruktur luar bandar terus diberi perhatian di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian menerusi pelaksanaan beberapa projek pembangunan di rumah panjang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik, berkata lawatan ke lapangan semalam turut melibatkan urusan penyerahan tapak bagi dua projek yang telah siap dilaksanakan.
Menurutnya, projek berkenaan melibatkan kerja menaik taraf parit di Rumah Katom, Lubok Renit, serta kerja meratakan tapak bagi pembinaan rumah baharu dan jalan masuk di Rumah Linggi, Sungai Tapang, Awik.
“Dalam lawatan yang sama, turut diadakan penyerahan tapak bagi memulakan projek menaik taraf dataran kejat dan jalan di hadapan Rumah Tabor, Kawang, Krian,” katanya.
Beliau berkata, projek berkenaan dilaksanakan menerusi peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi meningkatkan kemudahan asas serta keselesaan penduduk di kawasan terlibat.

Turut hadir dalam lawatan berkenaan ialah wakil agensi pelaksana, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan mengikut perancangan.
Sementara itu, Friday berkata, satu sesi libat urus berkaitan Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di kawasan Ulu Gerenjang turut diadakan di Pejabat Daerah Saratok.
Sesi berkenaan dihadiri Penghulu Anyom serta tuai-tuai rumah dari kawasan terlibat, manakala Pusat Khidmat ADUN Krian diwakili James Jimbun.
Beliau berkata, sesi libat urus itu penting bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada pemimpin masyarakat serta penduduk setempat berhubung keperluan bekalan air luar bandar di kawasan Ulu Gerenjang.
Katanya, usaha berterusan menerusi penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas seperti jalan raya, sistem saliran, tapak perumahan serta bekalan air amat penting bagi memastikan penduduk luar bandar turut menikmati kemudahan yang lebih baik, selesa dan berkualiti.
Oleh Adi Safarman



