SIBU: Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau telah mengagihkan geran projek kecil luar bandar (MRP) kepada 30 organisasi.
Selain itu, Lau yang juga Ahli Parlimen Lanang turut menghulurkan bantuan kepada seramai 41 penerima.
Berucap pada majlis tersebut Lau berkata, pengagihan dana MRP tersebut bertujuan menyokong organisasi penerima dalam menganjurkan aktiviti tahunan mereka.
“Saya berharap agar penerima dapat menggunakan dana tersebut dengan berkesan untuk menggalakkan pertumbuhan dan pembangunan inisiatif mereka.
“Sekiranya permohonan yang diluluskan adalah untuk membiayai aktiviti tahunan, dana tersebut hendaklah digunakan sewajarnya sebaik sahaja diterima,” katanya.
Beliau menggesa semua organisasi penerima untuk memahami sepenuhnya keperluan yang digariskan dalam permohonan awal mereka dan menggunakan dana yang diperuntukkan dengan baik.
Katanya, semua penerima dikehendaki mengemukakan laporan yang memperincikan bagaimana dana itu digunakan.
“Kegagalan menyerahkan laporan akan menyebabkan organisasi disenaraihitamkan oleh pihak berkuasa yang berkaitan, yang boleh menyebabkan permohonan akan datang ditolak,” kata beliau.
Beliau menggalakkan organisasi penerima mematuhi keperluan pelaporan selepas berjaya melaksanakan aktiviti mereka.
“Menyerahkan laporan selepas menerima dana dan penganjuran aktiviti mencerminkan budaya ketelusan dan integriti,” kata beliau lagi.
Menyentuh tentang pengagihan bantuan kebajikan, Lau menjelaskan, ia adalah bantuan pendidikan, khairat kematian, bantuan perubatan, manfaat bayi baru lahir Lanang dan lain-lain bentuk sokongan.
Konstituen di Lanang yang ingin memohon bantuan dialisis, bantuan pendidikan, khairat kematian, bantuan perubatan, bantuan bencana, atau bantuan lain boleh mengunjungi Pusat Khidmat P211 Lanang Alice Lau di No. 2, Lorong Lanang 82, pada waktu pejabat.
Oleh Akun Giman