BAU: Seramai 30 individu dijatuhi pelbagai hukuman atas kesalahan berkaitan dadah, perjudian, pertaruhan, hiburan tanpa lesen, kecederaan dan imigresen selepas kes mereka diputuskan di Mahkamah Majistret Bau pada 23 dan 24 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide Abdul Rahman berkata, bagi kes dadah, sebanyak 51 pertuduhan dikemukakan terhadap 26 individu yang mengaku bersalah atas kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurutnya, mahkamah menjatuhkan hukuman denda antara RM2,500 hingga RM3,500 terhadap mereka, manakala individu yang gagal membayar denda boleh dipenjara antara tujuh hingga 12 bulan serta dikenakan perintah pengawasan selama tiga tahun.
“Daripada jumlah tersebut, seorang individu berdepan lima pertuduhan di bawah seksyen yang sama.


KENYATAAN media Ketua Polis Daerah Bau.
“Selain itu, empat individu turut mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan masing-masing dijatuhi denda antara RM2,100 hingga RM4,200 atau penjara antara enam hingga tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau memaklumkan lima orang kena tuduh (OKT) bagi kes perjudian, pertaruhan, hiburan tanpa lesen dan imigresen turut dijatuhi hukuman denda antara RM1,000 hingga RM2,500 atau penjara, dengan sebahagian daripada mereka telah menjelaskan denda.
Seorang lagi OKT pula dijatuhi hukuman penjara selama lima bulan.
Bagi kes kecederaan, dua OKT mengaku tidak bersalah, dengan seorang direman sehingga tarikh sebutan semula, manakala seorang lagi dibenarkan diikat jamin.
Menurut Mohd Haide, satu lagi kes dibatalkan oleh mahkamah selepas OKT gagal hadir ke prosiding.
Beliau berkata, semua pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya di hadapan Mahkamah Majistret Bau.
“IPD Bau akan terus membanteras jenayah dan memastikan setiap pesalah dibawa ke muka pengadilan,” katanya.




