
MIRI: Tindakan seorang individu mempamerkan produk pengganti tembakau untuk jualan tanpa amaran kesihatan seperti yang ditetapkan mengundang padah apabila didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini.
Orang Kena Saman (OKS) dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 10(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Mahkamah turut memerintahkan OKS dipenjara selama tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.
Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB) Miri dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Permyjaya Technology Park, Jalan Tudan, di sini.
Menurut kenyataan itu, hukuman dijatuhkan mengikut Seksyen 10(2) Akta 852, manakala pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa PKB Miri dengan kerjasama pegawai penyiasat serta pegawai penguat kuasa.
Hasil pemeriksaan mendapati produk pengganti tembakau yang dipamerkan untuk jualan tidak mematuhi kehendak pembungkusan dan pelabelan yang ditetapkan.
“Produk pengganti tembakau yang dipamerkan itu didapati tidak mempunyai amaran kesihatan seperti yang diwajibkan pada paket atau karton bahan merokok berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Pertuduhan dibacakan bersama Peraturan 8(1)(b) Peraturan-Peraturan Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Pembungkusan dan Pelabelan) 2024 serta kehendak amaran kesihatan yang diperuntukkan di bawah Bahagian II, Jadual Kelima peraturan sama.
Sementara itu, PKB Miri mengingatkan semua peniaga, pemilik dan pengendali premis supaya mematuhi sepenuhnya Akta 852 serta peraturan berkaitan bagi mengelakkan tindakan undang-undang.
Menurut kenyataan itu, akta berkenaan bertujuan mengawal selia produk merokok bagi melindungi kesihatan awam, khususnya kanak-kanak dan golongan muda daripada risiko serta kemudaratan akibat penggunaan dan pendedahan kepada produk berkenaan.
PKB Miri turut memaklumkan bahawa pihaknya akan terus melaksanakan pemeriksaan, pemantauan, pendidikan kesihatan dan penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang.
Oleh Liong Chai Ling





