Projek pembesaran Bandar Baharu Kabong bakal ubah wajah pekan lebih moden

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KABONG: Projek pembesaran Bandar Baharu Kabong dijangka menjadi pemangkin pembangunan sosioekonomi kawasan itu menerusi penyediaan infrastruktur moden serta kemudahan awam yang lebih terancang demi meningkatkan kesejahteraan penduduk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir, berkata beliau berharap projek berkenaan dapat dilaksanakan dengan lancar dan disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan tanpa sebarang kelewatan.

Menurut beliau, projek itu merupakan antara pembangunan strategik yang bakal memberi impak besar kepada masyarakat setempat, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi serta mewujudkan wajah baharu Pekan Kabong yang lebih moden, tersusun dan kondusif.

TAKLIMAT PEMBESARAN BANDAR BAHARU… Dato Mohd Chee Kadir mempengerusikan taklimat mengenai status terkini cadangan pembesaran Bandar Baharu Kabong di Bilik Mesyuarat Pusat Khidmat ADUN Kabong, semalam. Foto ADUN Kabong

“Kita merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas kelulusan projek ini, selain mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Sarawak yang terus komited melaksanakan pembangunan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan taklimat mengenai status terkini cadangan pembesaran Bandar Baharu Kabong di Bilik Mesyuarat Pusat Khidmat ADUN Kabong, di sini, semalam.

Chee Kadir berkata, kejayaan merealisasikan projek berkenaan mencerminkan kesungguhan kerajaan memastikan pembangunan yang seimbang dapat dinikmati masyarakat luar bandar.

Beliau turut berharap kontraktor yang dilantik dapat melaksanakan tanggungjawab secara profesional, mematuhi spesifikasi yang ditetapkan serta memastikan setiap fasa pembinaan berjalan mengikut jadual.

LAKARAN BANDAR BAHARU… Lakaran cadangan pembesaran Bandar Baharu Kabong yang dijangka menyediakan infrastruktur moden, kemudahan awam lebih terancang serta ruang niaga yang sistematik kepada penduduk dan peniaga tempatan. Foto DUN Kabong

Taklimat itu disampaikan oleh wakil Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah Sarawak (LCDA) yang membentangkan perkembangan semasa pelaksanaan projek pembinaan, penyiapan kerja-kerja infrastruktur serta pembinaan Medan Selera Kabong.

Menurut taklimat tersebut, kemudahan medan selera itu akan merangkumi kawasan jualan makanan kering dan makanan basah sebagai sebahagian daripada pembangunan pembesaran Bandar Baharu Kabong.

Taklimat berkenaan turut memberi penerangan mengenai status semasa projek, perkembangan pelaksanaan dan perancangan seterusnya bagi memastikan semua komponen pembangunan dapat disiapkan mengikut jadual.

Chee Kadir berkata, projek pembesaran Bandar Baharu Kabong diyakini mampu meningkatkan kemudahan awam serta menyediakan ruang niaga yang lebih sistematik kepada peniaga tempatan melalui pembinaan medan selera yang moden dan teratur.

Menurut beliau, selain memperkukuh sektor ekonomi setempat, pembangunan itu juga dijangka memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk, sekali gus menyokong agenda pembangunan mampan kerajaan Sarawak dalam memperkasakan kawasan luar bandar serta meningkatkan kualiti hidup komuniti setempat.

Oleh Adi Safarman