SIBU: Mahkamah Majistret Sibu hari ini menjatuhi hukuman penjara lima bulan terhadap seorang lelaki atas pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan serta kesakitan badan terhadap teman wanitanya, selepas mangsa enggan diajak keluar makan malam.
Majistret Romario Jonoi terdahulu menjatuhkan hukuman penjara lima bulan terhadap tertuduh, 34, bagi setiap pertuduhan yang dibacakan, dimana hukuman berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap, 11 Jun 2026.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mendatangkan kesakitan badan kepada mangsa di tingkat tiga sebuah bistro di Lorong Tun Ahmad Zaidi Adruce 66 pada 23 Mei 2026, lebih kurang 10.00 malam.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 319 kanun Keseksaan dan dihukum mengikut Seksyen 323 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Sementara bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada mangsa dengan menggunakan kunci mangga di tingkat bawah bistro sama, pada tarikh dan masa yang sama.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang dihukum mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua hukuman tersebut.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh telah masuk ke dalam bilik mangsa sebelum menyemburnya menggunakan alat pemadam api, selain bertindak menumbuk serta menendang mangsa.
Selepas itu, mangsa juga diheret keluar menuruni tangga ke tingkat bawah oleh tertuduh dan setiba di bawah, tertuduh bertindak melontarkan kunci mangga kepada mangsa, yang mengenai hidungnya sehingga berdarah.
Pada 11 Jun 2026, lebih kurang 3.30 petang, pihak polis telah menangkap tertuduh serta merampas beg tangan dan sebilah pisau.
Siasatan yang dijalankan mendapati tertuduh adalah teman lelaki mangsa dan kejadian berlaku apabila mangsa yang enggan keluar makan malam bersama tertuduh.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Sokolinkam Changgan sementara tertuduh tidak diwakili.
Oleh Akun Giman




