Sembilan kes jenayah selesai dibicarakan di Mahkamah Majistret Bau – Ketua Polis Daerah

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

BAU: Sebanyak sembilan kes jenayah telah diputuskan di Mahkamah Majistret Bau pada 23 dan 24 Julai membabitkan kesalahan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Ordinan Hiburan 2000, Akta Pertaruhan 1953, Akta Imigresen 1959/63, Kanun Keseksaan dan Akta Keganasan Rumah Tangga.K

etua Polis Daerah Bau Supt Mohd Haide A Rahman berkata empat tertuduh dikenakan denda atau denda bersama hukuman penjara, seorang dijatuhi hukuman penjara, satu kes dibatalkan (struck out), manakala tiga tertuduh mengaku tidak bersalah dan ditawarkan jaminan tertakluk kepada perintah mahkamah.

Beliau berkata seorang wanita didenda RM2,000 atau dua bulan penjara selepas disabitkan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, manakala seorang lagi tertuduh didenda RM2,500 atau dua bulan penjara mengikut Seksyen 5(1) Ordinan Hiburan 2000.

Seorang lagi tertuduh dijatuhi hukuman penjara lima bulan selepas mengaku bersalah atas kesalahan di bawah Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Dua lagi tertuduh masing-masing didenda RM2,000 atau dua bulan penjara atas kesalahan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953, dengan seorang turut dikenakan tambahan hukuman penjara seminggu di bawah Akta Pertaruhan 1953.

Seorang lagi tertuduh didenda RM1,000 atau sebulan penjara serta tambahan hukuman penjara seminggu bagi kesalahan mendatangkan kecederaan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Mohd Haide berkata tiga tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mendatangkan kecederaan dan keganasan rumah tangga, dengan kes mereka ditetapkan untuk sebutan lanjut.

Seorang tertuduh direman di Penjara Puncak Borneo sehingga tarikh sebutan semula, manakala seorang lagi ditawarkan jaminan RM6,000 bersama dua penjamin tempatan tetapi gagal membayar wang jaminan.

Beliau berkata satu kes di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 pula dibatalkan selepas tertuduh gagal hadir ke mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Afiq Safly Nor Kazly di hadapan Majistret Ling Hui Chuan di Mahkamah Majistret Bau.