LIMBANG: Tiga pusat mengundi untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi kegunaan pada hari mengundi esok di kawasan Parlimen Limbang, dilanda banjir.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Limbang Petrick Linggie Taboh berkata tiga pusat mengundi yang terjejas ialah Dewan Ranggu, Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Awang dan Dewan Pengkalan Madang.
“Dewan Ranggu dicadang berpindah ke Dewan Gereja Katolik St.John Liok Batu, SK Kuala Awang dicadang berpindah ke Dewan Kampung Kuala Awang dan Dewan Pengkalan Madang dicadang berpindah ke Dewan Bawang Ranggas,” katanya kepada media hari ini.
Petrick berkata pihaknya sudah memohon kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai pertukaran pusat mengundi dan masih menunggu kelulusan SPR.
“SPR sudah bersedia untuk memastikan proses mengundi berjalan lancar meskipun terdapat beberapa kawasan dan laluan utama penduduk di luar bandar di sini terputus ekoran banjir yang melanda.
“Persediaan berjalan lancar. Kalau jalan putus, kita akan teruskan juga untuk memastikan petugas SPR bertugas di pusat mengundi.
“Jawatankuasa Bencana Daerah sedang bekerja keras membantu kita, bagi memastikan proses pengundian esok berjalan dengan lancar,”katanya.
Terdapat 53 lokasi mengundi membabitkan 101 saluran pusat mengundi dan jumlah itu tidak termasuk undi pos.
Seramai 913 petugas PRU-15 Parlimen Limbang, termasuk polis pengiring yang membabitkan kira-kira 105 orang terlibat dalam PRU-15 ini.
Oleh ADENG EDRUS