LAWAS: Sebanyak 29 pertubuhan dan persatuan Cina Lawas menerima geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) daripada Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong.
Pada majlis penyerahan geran MRP di pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lawas ini, Henry Sum memberitahu geran berkenaan adalah untuk kegunaan persatuan dan pertubuhan Cina di sini menjalankan aktiviti sempena perayaan Tahun Baharu Cina pada penghujung bulan ini.
“Gunakanlah peruntukan yang diterima ini untuk kita menjalankan aktiviti mahupun untuk tujuan kebajikan ahli kita.
“Sempena perayaan Tahun Baharu Cina ini tidak semua berkemampuan, jadi kita bantu melalui persatuan dan pertubuhan untuk menceriakan rakan kita yang kurang mampu melalui aktiviti kebajikan,” katanya pada majlis penyerahan geran MRP di pejabatnya, hari ini.
Demi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku, Henry Sum turut mengingatkan agar masyarakat di Lawas menyemai budaya mementingkan langkah-langkah keselamatan serta mengamalkan penggunaan jalan raya dengan selamat dari semasa ke semasa.
Hadir sama, Pemanca Tan Yong Hng, Penghulu Yong Kah Chu, Penghulu Liaw Soon Teck dan pengerusi persatuan dan pertubuhan Cina Lawas.
Oleh Adeng Edrus