SIMANGGANG: Seramai 26 peserta terdiri daripada belia dari sekitar Daerah Sri Aman menyertai Bengkel Tarian Tradisional Sarawak yang diadakan di Pusat Kebudayaan Sri Aman.
Bengkel tiga hari itu yang berakhir hari ini dianjurkan oleh Pejabat Belia Dan Sukan Bahagian Sri Aman bersama Anak Seni Benak Sri Aman.
Jurucakap penganjur berkata objektif bengkel adalah untuk memelihara dan memulihara serta mengekalkan seni persembahan tarian tradisional di Sarawak.
“Ini sekali gus memberi pendedahan dan pendidikan secara formal kepada komuniti dalam bidang seni tari. Harapan kita, supaya dapat mewujudkan semangat cintakan budaya seni tanah air dalam kalangan peserta,” katanya.
Bengkel itu dikendalikan dua jurulatih – Jalalluddin Mohamad dan Abang Syamsul Abang Rosli.
Antara tarian yang dipelajari iaitu tarian dari etnik Melayu Zapin Sebat; tarian Iban Ngalu Temuai; tarian Bidayuh Rejang Be’uh dan tarian Melanau Mengarang Mukah.
“Kita berharap melalui penganjuran bengkel ini, peserta dapat mempelajari teknik-teknik asas dalam tarian, dan seterusnya dapat diterjemahkan sama ada dalam persembahan majlis atau pertandingan,” katanya.
Pihak penganjur turut menyediakan hadiah kepada penerima tiga anugerah iaitu peserta terbaik lelaki yang disandang oleh Arfiq Zhaquan, peserta terbaik perempuan dimenangi Elvy Tanisha dan anugerah kumpulan terbaik telah dimenangi oleh Kumpulan Melanau.
Kesemua hadiah serta sijil penyertaan kepada peserta disampaikan oleh Penolong Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sri Aman, Mohd Israk Ismail.
Oleh ADI SAFARMAN