SARATOK: Tindakan pantas Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok membantu seorang lelaki yang terkunci di luar keretanya selepas kunci tertinggal di dalam bonet, di Kilang Sapom Saratok, malam tadi.
Pegawai APM Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 8.59 malam, sebelum tiga anggota digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, pasukan APM bertolak pada 9.01 malam dan tiba di lokasi pada 9.31 malam, dengan jarak perjalanan kira-kira 20 kilometer sehala.
“Setibanya di lokasi, anggota mendapati sebuah kereta jenis Perodua Alza tidak dapat dibuka kerana kunci kenderaan tertinggal di dalam bonet.
“Pengadu yang juga mangsa, Joel, 35, kemudian meminta bantuan anggota APM untuk membuka pintu kenderaan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, anggota terlebih dahulu memastikan penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE) dipatuhi sebelum operasi membuka pintu kereta dimulakan atas faktor keselamatan.
Operasi berkenaan dilaksanakan menggunakan alat pam udara pembuka pintu kereta bagi membuka pintu kenderaan tanpa menjejaskan keselamatan serta keadaan kereta.
“Selepas beberapa minit, anggota APM Saratok berjaya membuka pintu kereta dan kunci yang berada di dalam bonet kemudiannya diserahkan kepada pengadu,” katanya.
Operasi yang bermula selepas menerima panggilan pada 8.59 malam itu selesai sepenuhnya pada 9.48 malam.
Tiga anggota terlibat dalam operasi tersebut iaitu Prebet Zainal Zamran, Prebet Mohd Khairul Safwan Lawie dan Prebet Ikthiaruddin Yafiq Ahmad Sufian.
Kes berkenaan menunjukkan peranan APM bukan sahaja tertumpu kepada operasi kecemasan besar, malah turut memberi bantuan kepada masyarakat dalam situasi yang memerlukan tindakan segera.
Oleh Adi Safarman




