SmartBoard perkasa pendidikan digital di SJKC Chung Hua Engkilili

Facebook
WhatsApp
ROY Angau Gingkoi merasmikan Majlis Pelancaran Penggunaan SmartBoard di SJKC Chung Hua Engkilili, hari ini. Foto Roy Angau Gingkoi

ENGKILILI: Inisiatif SmartBoard menjadi antara usaha kerajaan Sarawak untuk memperkukuh pendidikan digital di sekolah rendah Cina bantuan kerajaan, khususnya bagi meningkatkan kualiti proses pengajaran dan pembelajaran.

Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi, berkata kemudahan itu memberi peluang kepada guru mengintegrasikan teknologi digital secara lebih meluas dalam bilik darjah.

Menurutnya, inisiatif itu dilaksanakan menerusi Jawatankuasa Perundingan Sekolah Cina Sarawak di bawah Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak dengan kerjasama Persatuan Bersatu Lembaga Pengurus Sekolah Rendah Cina Bantuan Sarawak.

“Kerjasama ini merangkumi proses penapisan, penyelarasan dan pemasangan kemudahan SmartBoard di sekolah-sekolah terpilih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Penggunaan SmartBoard di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Engkilili, hari ini.

MURID SJKC Chung Hua Engkilili mencuba kemudahan pembelajaran digital semasa Majlis Pelancaran Penggunaan SmartBoard, hari ini. Foto Roy Angau Gingkoi

Roy berkata, kerajaan Sarawak turut menyediakan dana khusus bagi pembangunan bilik darjah pintar di sekolah rendah bantuan Cina, dengan pelaksanaannya dilakukan secara berfasa.

Katanya, bagi fasa pertama, sekolah di Bahagian Sri Aman dan Betong turut menerima manfaat daripada inisiatif itu.

“Untuk SJKC Chung Hua Engkilili, sebanyak 12 unit SmartBoard disediakan untuk digunakan dalam kelas perdana,” katanya.

Kemudahan itu membolehkan guru memanfaatkan pelbagai bahan pembelajaran digital, termasuk multimedia, video, grafik, persembahan interaktif serta sumber pendidikan digital dalam sesi pengajaran.

Penggunaan teknologi itu juga dijangka menjadikan proses pembelajaran lebih menarik, dinamik dan interaktif, sekali gus membantu meningkatkan penglibatan murid dalam bilik darjah.

AHLI Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi bergambar bersama guru dan murid SJKC Chung Hua Engkilili selepas Majlis Pelancaran Penggunaan SmartBoard di sekolah berkenaan, hari ini. Foto Roy Angau Gingkoi

Dalam majlis sama, Roy turut melawat bilik darjah bagi melihat sendiri demonstrasi penggunaan SmartBoard dalam sesi pembelajaran.

Selain memperkukuh pendidikan digital, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000 menerusi Projek Mesra Rakyat (PMR) 2027 bagi melaksanakan kerja pembaikan bumbung bangunan sekolah.

Roy berharap kemudahan SmartBoard yang disediakan dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh pihak sekolah bagi memperkukuh proses pengajaran dan pembelajaran serta memberi manfaat kepada guru dan murid SJKC Chung Hua Engkilili.

Oleh Adi Safarman