BAU: Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) Bau mengadakan program kesedaran pencegahan jenayah komersial di SMK Bau hari ini melibatkan empat guru dan kakitangan serta 262 pelajar.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A. Rahman berkata, program itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai trend semasa jenayah komersial, selain memberi pengetahuan kepada pelajar dan warga sekolah untuk mengenal pasti taktik penipuan.
Menurutnya, peserta diberi penerangan mengenai pelbagai bentuk penipuan termasuk penipuan panggilan telefon, e-dagang, percintaan, akaun keldai, tawaran pinjaman tidak wujud serta penipuan pembayaran melalui QRPay.

“Kesedaran masyarakat penting dalam mencegah jenayah komersial. Kita mahu masyarakat, khususnya golongan muda, mengenal pasti tanda-tanda amaran penipuan dan mengetahui saluran untuk mendapatkan bantuan apabila berdepan transaksi atau tawaran mencurigakan,” katanya.
Peserta turut diperkenalkan kepada perkhidmatan dan saluran seperti Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997, WHOSCALL dan Semak Mule bagi membuat semakan terhadap nombor telefon, akaun serta transaksi yang mencurigakan.
Program berkenaan berjalan lancar dan menerima maklum balas positif daripada warga SMK Bau.
“Bersama-sama, kita dapat membanteras jenayah komersial dan mewujudkan komuniti yang lebih selamat,” kata Mohd Haide.
Oleh Connie Chieng




