KUCHING: Seramai 25 warga asing ditahan dalam tiga operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen (JIM) Sarawak di sembilan lokasi sekitar bandar raya ini, pada 17 dan 18 September lalu.
Operasi membabitkan Ops Selera, Ops Kutip dan Ops Sapu itu dilaksanakan Bahagian Penguatkuasa JIM Kuching dari 8.00 malam hingga 4.00 pagi, hasil aduan awam serta risikan jabatan.

Menurut JIM Sarawak dalam satu kenyataan, sasaran operasi melibatkan premis kedai makan, kedai yang disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian, rumah pekerja, rumah dalam pembinaan serta bilik sewa.
Lokasi terbabit termasuk di Jalan Tan Sri Datuk Amar Wee Boon Ping, Jalan Landeh, Jalan Setia Raja, Kampung Sungai Batu, Jalan Sultan Tengah dan Jalan Demak.

“Seramai 58 orang telah diperiksa dengan 25 orang ditahan untuk tindakan lanjut.
“Selain itu, satu saman saksi turut dikeluarkan bagi membantu siasatan berhubung kesalahan imigresen yang dikesan sepanjang operasi dijalankan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, kesalahan yang disyaki dilakukan membabitkan Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), serta Peraturan 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Katanya, kesemua tindakan penguatkuasaan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
JIM Sarawak berkata, operasi penguatkuasaan secara bersasar akan terus dipergiatkan berdasarkan maklumat risikan dan aduan awam bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen sentiasa dipelihara.
“Kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang imigresen amat dihargai bagi membantu jabatan melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara berkesan,” katanya.





