
SIMANGGANG: Seramai 23 pelajar asrama Sekolah Kebangsaan (SMK) Simanggang yang beragama Islam telah khatam al-Quran pada Program Khatam al-Quran dan Iftar Jamaie SMK Simanggang 2025, petang semalam.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), Omar Mahli berkata Ramadan bukan sekadar bulan beribadah, tetapi juga madrasah yang membentuk peribadi yang lebih baik.
Katanya majlis yang diadakan itu adalah sebagai tanda kesyukuran dan penghormatan terhadap Ramadan yang mulia.

“Majlis seperti ini bukan sekadar satu acara, tetapi satu didikan, ia mengajar kita tentang kesabaran, keikhlasan dan kebersamaan. Pendidikan bukan hanya berlaku di bilik darjah, tetapi juga dalam pengalaman hidup seperti ini,” katanya.
Beliau turut memuji usaha para pelajar yang berjaya khatam al-Quran, yang menandakan kesungguhan mereka dalam memperkukuh hubungan dengan kitab suci.
“Saya amat bangga melihat anak-anak kita di SMK Simanggang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga dalam aspek rohani. Inilah generasi yang kita harapkan iaitu seimbang dalam ilmu dunia dan akhirat,” ujarnya.
Omar menegaskan bahawa pendidikan adalah hak semua tanpa mengira latar belakang dan perbezaan.
“Hari ini, kita duduk bersama, berbuka bersama, dan berdoa bersama. Tiada jurang antara pelajar, guru, kakitangan dan pihak pentadbiran. Inilah nilai yang kita ingin terapkan dalam dunia pendidikan kesaksamaan, kebersamaan, dan rasa hormat antara satu sama lain,” tambahnya.
Beliau juga mengambil kesempatan untuk berterima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan majlis ini, termasuk guru-guru, staf sokongan dan para pelajar.
“Tanpa komitmen dan usaha semua pihak, majlis ini tidak mungkin berjaya. Semoga semangat kebersamaan yang kita bina hari ini akan terus kekal dalam kehidupan seharian kita, bukan hanya sepanjang Ramadan, tetapi sepanjang hayat,” katanya.
Beliau turut menggesa agar nilai Ramadan seperti keikhlasan, kasih sayang dan kesyukuran terus diamalkan dalam kehidupan seharian.
Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pendidikan Islam (SPI) JPNS, Hossen Marip, Ketua Penolong Pengarah (Sektor Pendidikan Islam) JPNS, Ustaz Sulaiman Hasim dan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Sri Aman, Abdul Rahman Muhiyuddin.
Oleh Adi Saparman