
CHANGSHA, China: Letupan di sebuah kilang bunga api di wilayah Hunan, tengah China pada Isnin menyebabkan 21 maut dan 61 yang lain cedera, menurut pihak berkuasa pada Selasa, lapor Xinhua.
Letupan itu berlaku kira-kira 4.43 petang Isnin di kilang milik syarikat pembuatan dan pertunjukan bunga api Huasheng di Liuyang, sebuah bandar peringkat daerah di bawah pentadbiran Changsha, ibu negeri Hunan.

Lebih 480 anggota penyelamat dalam lima pasukan telah digerakkan untuk operasi menyelamat, dengan tiga robot penyelamat turut dikerahkan.
Setakat 8.00 pagi Selasa, pasukan penyelamat telah mengesahkan jumlah korban selepas pusingan pertama operasi pencarian. Mangsa yang cedera telah dikejarkan ke hospital untuk rawatan dan pusingan kedua operasi pencarian sedang dijalankan.
Individu yang bertanggungjawab terhadap syarikat itu telah ditahan polis dan punca kejadian sedang disiasat. – BER Bernama-Xinhua