SIBU: Seramai 203,133 orang atau 81 peratus penduduk di Bahagian Sibu telah mendaftar untuk menerima vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19.
Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS) Dr Annuar Rapaee berkata, JPBBS pada masa ini sedang berusaha untuk menggalakkan baki 19 peratus penduduk untuk mendaftar menerima vaksin Covid-19.
“81 peratus daripada 203,133 orang di Bahagian Sibu, yang disarankan untuk menerima vaksin telah didaftarkan melalui aplikasi MySejahtera serta di pejabat daerah dan klinik kesihatan.
“Baki 19 peratus, mungkin mereka akan mendaftar (untuk program ini) nanti, atau mungkin masih mengamalkan sikap tunggu dan lihat.
“Walaupun begitu, kami akan menghubungi mereka kerana kami ingin mencapai 100 peratus untuk pendaftaran tidak lama lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita setelah menerima dos vaksin keduanya di Klinik Kesihatan Lanang, semalam.
Dengan jumlah tersebut, beliau percaya ini sebagai langkah ke arah yang tepat untuk mengekang penularan Covid-19 di Bahagian Sibu.
Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu turut mendedahkan bahawa tujuh premis di sini telah dikenal pasti untuk program vaksinasi besar-besaran untuk orang ramai, yang diharapkan akan bermula dari bulan April hingga Ogos.
“Lokasi utama adalah di Stadium Tertutup Sibu yang dapat menampung sekitar 3,000 orang pada satu-satu masa,” katanya.
Dr Annuar, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka telah menerima vaksinasi dos pertama pada 27 Februari lalu.
Bersama beliau menerima dos kedua vaksin di Klinik Kesihatan Lanang adalah Senator Robert Lau, Pengerusi JPBBS dan Residen Bahagian Sibu Charles Siaw, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting, dan Pegawai Daerah Sibu Suhaili Mohamed.
Oleh NURZILLA MOHAMAD