
SIBU: Cuaca cerah dan pemandangan matahari terbenam seperti mengalu-alukan lebih 20,000 pengunjung memeriahkan program Sungkei Perdana di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa 1, di sini, petang tadi.
Program yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Tetap Festival Islam Bahagian Sibu dengan kerjasama Pusat Khidmat Nangka serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional itu begitu meriah dan mendapat sambutan menggalakkan.

Orang ramai yang datang bersama keluarga dan rakan-rakan duduk berkelah di atas tikar sambil menikmati suasana santai menjelang waktu berbuka.
Program itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I, Datuk Dr Annuar Rapa’ee dan turut dihadiri oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berkata, program Sungkei Perdana menarik paling ramai pengunjung.
“Saya rasa inilah program paling hebat yang pernah kita laksanakan. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua agensi kerajaan yang terlibat secara langsung dalam memastikan program kita berjalan lancar pada petang ini,” katanya.


ACARA TRADISI… Pertandingan meriam buluh telah memeriahkan lagi program berbuka puasa beramai-ramai Sungkei Perdana di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa 1.
Katanya, jangkaan awal adalah sekitar 20,000 pengunjung, tetapi lebih daripada itu yang hadir, termasuk mereka dari Bintangor, Semop, Kuala Rajang, dan Tanjung Manis.
“Semua berkumpul pada petang ini, termasuk masyarakat berbilang kaum yang turut serta dalam berbuka puasa bersama,” katanya.
Ketika ditanya tentang perbezaan program tersebut pada tahun ini, Dr Annuar memberitahu, kelainannya adalah kemeriahan dan sambutannya yang benar-benar menakjubkan.
“Saya perhatikan ramai yang memakai baju Melayu, dan ada juga yang memakai tengkolok. Selain itu, kami turut menjemput wakil dari Ahli Jawatankuasa (AJK) agama lain untuk bersama-sama berbuka puasa,” kata beliau.
Oleh Akun Giman & Tarani Lanting