KUCHING: Karnival Celik Kewangan (KCK) Sarawak memperkenalkan Program Pengurusan Kewangan Peribadi untuk guru bagi melengkapi golongan pendidik dengan kemahiran celik kewangan dan pembangunan peribadi.
Gabenor Bank Negara, Datuk Seri Abdul Rasheed Abdul Ghaffour berkata pelaksanaan program itu merupakan inisiatif untuk meningkatkan keupayaan guru memberikan pendidikan kewangan di sekolah dengan berkesan.
”Program kerjasama antara Kementerian Pendidikan (KPM) dengan Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) dan Financial Industry Collective Outreach (FINCO) ini bukan sahaja merangkumi kursus dan bengkel tentang celik kewangan, malah turut memberi tumpuan pada pembangunan diri para guru.
”Langkah ini bagi menjadikan mereka contoh yang baik kepada murid, warga sekolah dan komuniti setempat dalam hal ehwal pengurusan kewangan.
”Guru yang celik kewangan juga akan lebih yakin apabila menyampaikan pendidikan kewangan di dalam bilik darjah sekali gus mempercepat pembangunan generasi belia yang celik kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Karnival Celik Kewangan Sarawak 2024 di pusat beli-belah Viva City di sini, hari ini.
Abdul Rasheed berkata program itu akan dimulakan secara rintis di Sarawak pada bulan depan dengan melatih modul Pengurusan Kewangan Peribadi kepada 30 jurulatih utama KPM dari seluruh negeri.
Katanya, semua jurulatih utama ini kemudiannya akan menyampaikan modul tersebut kepada lebih 2,000 guru di seluruh negeri.
”Program ini seterusnya akan diperluas ke seluruh negara.
”Kami menjangkakan lebih 150 jurulatih utama diperlukan untuk meluaskan program ini kepada lebih 5,000 warga pendidik di seluruh negara pada tahun hadapan,” katanya.
Majlis itu dilancarkan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang mewakili Premier Sarawak.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Ruji Ubi.
Oleh RYNNA SHA’ERRA