SYDNEY: Tiga maut apabila dua pesawat ringan berlanggar di udara sebelum terhempas di barat daya Sydney, hari ini, lapor Xinhua.
Pasukan kecemasan dipanggil ke Belimbla Park, kira-kira 65 kilometer barat daya pusat bandar Sydney, sejurus sebelum tengah hari waktu tempatan susulan laporan bahawa dua pesawat bertembung lalu terhempas.
Polis di New South Wales (NSW) mengesahkan pada petang ini bahawa tiga lelaki ditemui meninggal dunia di tempat kejadian.
Perbadanan Penyiaran Australia melaporkan salah sebuah pesawat berkenaan terbakar sejurus selepas perlanggaran.
Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), iaitu badan kerajaan persekutuan yang bertanggungjawab menyiasat kemalangan berkaitan pengangkutan, berkata pesawat terbabit nahas itu ialah Jabiru dan Cessna 182.
“Sebuah pasukan penyiasat keselamatan pengangkutan dari pejabat ATSB di Canberra, yang mempunyai pengalaman dalam operasi dan penyelenggaraan pesawat, sedang bersiap untuk dihantar ke lokasi nahas kedua-dua pesawat bagi memulakan aktiviti pengumpulan bukti,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam beberapa hari mendatang, penyiasat akan menjalankan pemetaan tapak, memeriksa bangkai kedua-dua pesawat, dan mengumpul sebarang komponen berkaitan untuk pemeriksaan lanjut di kemudahan teknikal ATSB di Canberra.
Polis turut menasihati penduduk tempatan supaya menjauhi kawasan kejadian. – BERNAMA-XINHUA