Iceland mahu menamatkan aktiviti pemburuan ikan paus

Facebook
WhatsApp
AKTIVITI pemburuan ikan paus hampir tidak menguntungkan, manakala perlindungan haiwan menjadi keutamaan.

REYKJAVIK: Kerajaan Iceland akan mengemukakan rang undang-undang (RUU) pada Februari depan yang boleh membawa kepada penamatan aktiviti pemburuan ikan paus, kata jurucakap kementerian kepada AFP.

Iceland merupakan antara tiga negara di dunia yang masih memburu dan membunuh mamalia marin gergasi itu, sekali gus menerima kritikan hebat daripada kumpulan hak asasi haiwan.

“Pada Februari, RUU yang bertujuan meminda undang-undang berkaitan pemburuan ikan paus akan dibentangkan di Parlimen,” kata jurucakap Kementerian Perindustrian Iceland kepada AFP.

Katanya, teks RUU itu akan memberi “perhatian khusus kepada cadangan yang disediakan berkaitan larangan kekal terhadap pemburuan ikan paus”.

Menteri Perindustrian, Hanna Katrín Friðriksdóttir, memberitahu media tempatan Visir bahawa aktiviti pemburuan ikan paus hampir tidak menguntungkan, manakala perlindungan haiwan menjadi keutamaan.

Beliau berkata, tahun lalu, “tiada siapa keluar” untuk memburu ikan paus walaupun permit telah diberikan.

Bagaimanapun, tahun ini beberapa bot keluar memburu ikan paus. Namun, hasil tangkapan “jauh lebih rendah daripada kuota yang ditetapkan,” katanya.

Wendy Higgins, jurucakap kumpulan perlindungan haiwan Humane World for Animals, menyambut baik RUU yang dicadangkan itu sebagai “langkah yang amat penting” ke arah menamatkan amalan yang disifatkannya sebagai “kejam”.

Iceland, Norway dan Jepun merupakan satu-satunya negara yang masih membenarkan pemburuan komersial ikan paus.

– AFP