LOS ANGELES, Amerika Syarikat: Tiga maut dalam nahas membabitkan sebuah helikopter media berita Amerika Syarikat yang terbakar selepas terhempas di sebuah kawasan kejiranan di Los Angeles ketika membuat liputan mengenai kemalangan bas maut.
Media di bandar itu bergegas membuat liputan mengenai kemalangan maut selepas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) merempuh sebuah bas di kawasan Chatsworth, barat laut pusat bandar, menyebabkan tiga lagi maut dan ramai yang cedera. Organisasi media di bandar itu sering menggunakan helikopter untuk membuat liputan mengenai kejadian besar.
Wartawan yang berada di lokasi kemalangan bas berkata mereka terdengar bunyi dentuman kuat, manakala beberapa daripada mereka melihat sebuah helikopter terhempas kira-kira satu blok dari situ, menyebabkan kepulan asap naik ke udara.

Rakaman dari udara menunjukkan kebakaran besar yang dipercayai melibatkan kontena kargo dan beberapa kenderaan, selain bangkai helikopter yang ekor dan bilah pemutarnya yang remuk dapat dilihat dalam api.
Identiti mereka yang berada di dalam helikopter itu belum disahkan serta-merta, namun polis mengesahkan pada awal kejadian bahawa ia merupakan helikopter media. Stesen NBC4 tempatan pula melaporkan secara langsung bahawa pihaknya gagal menghubungi kru helikopter berkenaan.
Kemudian, ketika membuat liputan secara langsung di NBC4, penyampai berita veteran Colleen Williams mengesahkan bahawa helikopter milik stesen berita tempatan itu yang terhempas.
“Kami tahu ia helikopter berita. Kami tahu kami kehilangan hubungan dengan petugas kami di sana dan kami baharu menerima pengesahan,” kata Williams.

Foto AFP
Puluhan anggota bomba dihantar ke lokasi kejadian, menurut Jabatan Bomba Los Angeles.
“Empat pesakit telah dinilai. Tiga pesakit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Seorang pesakit telah dibawa ke hospital tempatan dalam keadaan yang belum diketahui,” menurut kenyataan jabatan itu.
Salah seorang mangsa yang maut dipercayai merupakan pejalan kaki yang berada di darat ketika nahas berlaku.
Los Angeles, bandar kedua terbesar di Amerika Syarikat, mempunyai pasaran media yang kompetitif dan padat, dengan stesen televisyen bersaing hebat untuk mendapatkan liputan berita.
Kebanyakan stesen berkenaan sering menggunakan liputan udara dengan menghantar helikopter ke ruang udara bandar yang sememangnya sibuk untuk membuat liputan mengenai pelbagai kejadian, daripada kebakaran hingga aksi kejar-mengejar kenderaan.
Biasanya, terdapat dua orang di dalam helikopter media berita, iaitu juruterbang dan wartawan pengendali kamera yang sering membuat laporan secara langsung dari udara. – AFP





