PETRA JAYA: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengesahkan Kerajaan Persekutuan telah bersetuju meletakkan bidang pelancongan dalam Senarai Bersama di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata persetujuan itu akan membuka ruang kepada kerjasama lebih kukuh antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak dalam membangunkan sektor pelancongan.
“Saya amat menghargai persetujuan Kerajaan Pusat untuk meletakkan bidang pelancongan dalam Senarai Bersama di bawah Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.
“Langkah ini akan membuka ruang untuk kolaborasi dan kerjasama yang lebih kukuh antara Kerajaan Pusat dan kerajaan Sarawak untuk memajukan bidang pelancongan,” katanya.
Abang Johari berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Malaysia 2026 peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, malam ini.
Beliau berkata pelancongan merupakan bidang baharu yang wujud selepas penubuhan Malaysia dan sebelum ini dikategorikan sebagai perkara baki di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Abang Johari, persetujuan itu merupakan antara perkembangan yang perlu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha mengiktiraf hak dan keistimewaan Sarawak dalam kerangka Malaysia.
Beliau sebelum itu turut mengalu-alukan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memastikan pembangunan negara dirancang secara lebih seimbang dengan mengambil kira potensi Sarawak dan Sabah.
“Saya amat berharap komitmen seperti ini akan membawa kepada kefahaman bahawa pengiktirafan hak-hak dan keistimewaan Sabah dan Sarawak adalah sebahagian daripada agenda nasional,” katanya.
Untuk rekod, bidang pelancongan kini disenaraikan sebagai Item 25A dalam Senarai I (Persekutuan), Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
Pelancongan sebelum ini tidak disenaraikan dalam mana-mana tiga senarai kuasa ketika Perlembagaan digubal dan kemudiannya dimasukkan ke dalam Senarai Persekutuan melalui pindaan yang berkuat kuasa pada 1994.
Sarawak sejak beberapa tahun lalu mencadangkan supaya Item 25A dipindahkan daripada Senarai Persekutuan kepada Senarai III (Bersama), yang membolehkan kuasa perundangan berkaitan pelancongan dikongsi antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
Oleh Norman B



