SARIKEI: Seramai 199 calon yang terlibat dengan program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarikei telah berjaya mendapatkan lesen B2.
Residen Sarikei, Datu Michael Ronnie Langgong berkata, program itu dikhususkan kepada masyarakat yang memerlukan terutamanya golongan berpendapatan rendah.
“Program ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan yang menawarkan bantuan untuk memperoleh lesen motosikal B2 kepada golongan B40.
“Ia bertujuan untuk mendekati rakyat di peringkat akar umbi serta untuk membantu golongan B40 mendapatkan lesen motosikal agar dapat membuka ruang dan peluang mempertingkatkan taraf sosioekonomi serta pendapatan isi rumah melalui pekerjaan dalam sektor logistik dan pengangkutan.
“Di peringkat Bahagian Sarikei, seramai 199 orang telah terpilih menjayakan program ini,” katanya.
Beliau selaku wakil Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii berucap pada majlis penutup program itu di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, beliau turut menyerahoan topi keledar dan baju jaket kepada empat orang calon iaitu calon veteran lelaki, calon veteran wanita, calon termuda lelaki dan calon termuda wanita.
Turut hadir Ketua Bahagian Kanan Pengurusan Keselamatan Jalan Raya dan Koporat JPJ Sarawak, Christopher Alex Boniface Barau selaku wakil Pengarah JPJ Sarawak, Norizan Jili dan Ketua Cawangan JPJ Sarikei, Yusuf Andan.
Oleh Earl Anek