MARUDI: Sebanyak 18 organisasi di sini telah menerima peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM164,000.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Penguang Manggil berkata, penerima peruntukan terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), PIBG, Biro Wanita dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Penyampaian cek MRP ini merupakan kali ketiga dan banyak lagi cek akan disampaikan sama ada pada penghujung tahun ini atau tahun depan.
“Mana-mana pertubuhan yang belum lagi menerima peruntukan MRP diminta memaklumkan kepada Urusetia Pusat Khidmat DUN Marudi atau menghubungi Setiausaha peribadi saya,” katanya pada majlis ringkas penyerahan cek tersebut di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Marudi, semalam.
Sementara itu, Penguang turut memaklumkan sejumlah RM855,850 peruntukan MRP telah disalurkan kepada pelbagai organisasi dan pertubuhan iaitu sebanyak 86 cek MRP di sampaikan di kawasan Marudi dan lebih 50 cek disampaikan di kawasan Beluru.
Berkenaan projek RTP, jelasnya, pada tahun ini, sebanyak 33 RTP telah diluluskan.
Antaranya, kerja-kerja menambak tanah dan menaik taraf bangunan Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak, Kampung Pemindahan bernilai RM200,000.
Selain itu, katanya lagi, peruntukan RTP untuk membina padang bola sepak di RPR Sungai Pasir sebanyak RM120,000, projek menaik taraf laluan jambatan dan membina Awning di dewan di SK Pengelayan RM180,000, menukar atap rumah panjang dan kerja-kerja berkaitan di Rumah Budin RM100,000 dan bangsal pejalan kaki di lokasi strategik di sepanjang Tebingan Marudi RM110,000.
Projek RTP lain-lain ialah menaik taraf Gereja BEM Marudi, Bahasa Melayu RM100,000, penambahan bumbung pentas Tebingan Marudi RM198,000 dan bina baharu jeti dan titian pejalan kaki untuk penduduk di Rumah George Ijus Pengelayan Kejaman RM150,000.
Penguang turut mengingatkan semua penerima supaya tidak menyalahgunakan peruntukan ini untuk keperluan peribadi sebaliknya mendapatkan persetujuan ahli-ahli JKKK dalam pengurusan melibatkan dana terbabit.
Oleh Jiku Juguong