SEBUYAU: Projek Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS) setakat ini telah membaik pulih sebanyak 172 kediaman di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebuyau.
Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Julaihi Narawi berkata, kerajaan negeri yang dipimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa prihatin dengan golongan kurang berkemampuan untuk mendiami kediaman yang selesa dan selamat.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu, beliau berpuas hati dengan kesemua 172 buah kediaman yang siap dibaik pulih dalam tempoh projek yang ditetapkan.
“Saya mewakili suara rakyat di DUN Sebuyau merakamkan terima kasih kepada kerajaan GPS yang prihatin membantu golongan kurang berkemampuan untuk mendiami dan memiliki rumah yang selesa dan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian, ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja dan penyerahan projek PPRMS di Kampung Seruyuk, baru-baru ini.
Hadir bersama, Pegawai Tadbir Sarawak, Sebuyau, Ajis Ahmad; Pemanca Daerah Simunjan, Asli Yahya; Penghulu Masyarakat Melayu kawasan Sebangan, Hamdan Esamail dan Ketua Kaum Kampung Seruyuk, Umar Ismail.
Antara pemilik rumah yang menerima manfaat PPRMS itu ialah Sa’adah Mat dari Kampung Seruyuk yang mana kediamannya dibaik pulih di bahagian atap, dinding dan lain-lain.
Dalam pada itu, Sa’adah Mat merakamkan penghargaan kepada ADUN Sebuyau dan kerajaan Sarawak di atas bantuan yang telah dihulurkan.
“Menerusi projek baik pulih rumah ini, ia secara langsung memberi keselesaan kepada kami sekeluarga. Terima kasih YB (Datuk Julaihi) dan kerajaan GPS,” ujarnya.
Oleh ‘AINI ‘AFIFAH HAFIZ