SARATOK: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 pada hari terakhir Fasa 2 semalam telah menyaksikan seramai 17 orang telah ditangkap di pekan Saratok semalam.
Ketua Polis Daerah Saratok Deputi Superintendan Mordani Tanin berkata, tangkapan tersebut merupakan tangkapan paling ramai yang dilakukan sepanjang tempoh PKP yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu iaitu memasuki hari terkahir Fasa 2 PKP.
Katanya operasi yang dijalankan pagi semalam, pihaknya menyasarkan mereka yang masih degil dan masih duduk minum di kedai kopi di sekitar pekan di sini.
“Lebih kurang jam 6.15 pagi pemeriksaan mengejut dilakukan di gerai minuman Majlis Daerah Saratok, Jalan Ong Ho San Saratok dan telah menahan empat lelaki yang sedang minum di sebuak kedai.
“Empat lelaki berkenaan yang merupakan penduduk tempatan masing-masing berumur 54 hingga 56 tahun termasuk seorang wanita,” katanya.
Mordani berkata operasi seterusnya dijalankan pada jam lebih kurang pukul 6.35 pagi satu lagi pemeriksaan mengejut dilakukan di kedai makan di pasar Saratok dan telah menahan seorang lelaki dan seorang wanita berusia 51 dan 58 tahun.
“Seterusnya pada jam 6.50 pagi pemeriksaan mengejut dilakukan di kedai makan di Taman Fuyuan, polis telah menahan dua lelaki yang sedang minum di kedai tersebut. Masing-masingnya berusia 63 dan 60 tahun. Turut ditahan pemilik kedai kedai yang berusia 46 tahun,” ujar beliau.
Mordani berkata tangkapan seterusnya dibuat pada jam lebih kurang 7.20 pagi ketika pemeriksaan mengejut di sebuah kedai makan Saratok Bazaar menyaksikan polis telah menahan tiga lelaki yang masing-masing berumur 58 hingga 63 tahun.
Berikutnya tangkapan dibuat di sebuah kedai makan yamg juga di pasar Saratok polis telah menahan seorang lelaki berusia 48 tahun.
“Tangkapan seterusnya turut dilakukan di tepi Jalan Tarang Saratok polis telah menahan tiga orang dalam sebuah kereta kira-kira jam 9.20 pagi.
“Mereka terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita yang berusia 33 hingga 62 tahun,” katanya.
Ketika operasi dibuat beliau berkata polis mendapati tiga orang berada di dalam sebuah kenderaan jenis Proton Saga terbabit telah gagal memberikan alasan yang munasabah.
“Semua suspek yang terlibat telah ditahan kerana di dapati telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan boleh dihukum dibawah Peraturan 11 peraturan yang sama,” jelasnya.
Tambah Mordani, mulai hari ini kerajaan telah mengumumkan langkah yang lebih tegas yang mana orang ramai yang ingkar PKP akan dikenakan tindakan di bawah akta 342 iaitu bukan sahaja dikompaun tapi akan terus direman untuk tindakan mahkamah.