SAMARAHAN: Sesi persekolahan Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika), dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) mengintegrasikan Program SA.LA.M (Sahsiah Lambang Modal Insan Unggul) selama tempoh tiga (3) bulan.
Program S.A.L.A.M ini, menurut Timbalan Pengarah Unit Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kemas Negeri, Roselind Wilson Laing, akan diaplikasikan kepada kesemua kanak-kanak sepanjang tempoh transisi atau pengenalan dari tarikh pertama sesi persekolahan bermula.
Katanya, program tersebut melibatkan seramai 15,677 kanak-kanak dari 1,351 Tabika, dan 1,158 kanak-kanak 86 Taska Kemas seluruh Sarawak, yang memulakan sesi persekolahan bagi sesi 2025/2026, hari ini.
“Pelaksanaan Program S.A.L.A.M merupakan aktiviti pembelajaran kanak-kanak yang bermakna, sebagai pengenalan awal mereka kepada sesi persekolahan di Tabika Kemas.
“Program ini juga bertujuan membentuk sahsiah diri kanak-kanak yang unggul disamping melahirkan kanak-kanak “Ceria, Cerdas dan Cerdik”.
“Mereka akan menjalani pelbagai aktiviti, bagi memberi kanak-kanak ruang untuk membiasakan diri dengan suasana di Tabika, dan Taska serta membina keyakinan diri melalui interaksi perkenalan bersama rakan-rakan dan pendidik masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian membuat lawatan tinjauan ke Tabika Kemas Kampung Sindang untuk memastikan persiapan guru, dan jawatankuasa agar hari pertama persekolahan berjalan lancar, di sini, hari ini.
Tambahnya, semasa di Tabika atau Taska, kanak-kanak akan disediakan makanan sihat secara percuma melalui geran tahunan (GPK) yang disediakan oleh kerajaan.
“Melalui pemakanan seimbang, sudah pasti dapat meningkatkan minda yang cerdas, sihat, dan tumbesaran kanak-kanak dengan lebih baik lagi.
“Kanak-kanak dibimbing dan diasuh oleh cikgu Kemas yang memiliki Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak, terlatih, dan berkemahiran.
“Ibu bapa disaran agar memilih Tabika atau Taska kelolaan Kemas kerana telah diiktiraf sebagai jenama dipercayai oleh Readers Digest dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak di negara ini buat kali ke-5,” tegasnya.
Pencapaian tersebut sejajar dengan hasrat menjadikan Tabika Kemas sebagai pilihan utama ibu bapa dengan menyediakan pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti serta melahirkan modal insan yang unggul.
Tegasnya, pendidikan awal adalah kunci pembangunan holistik murid dari segi jasmani, emosi, sosial, intelek, dan rohani.
Bimbingan ini, ujarnya, membentuk keyakinan serta konsep kendiri positif berasaskan kepada Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) untuk persediaan ke sekolah rendah.
Oleh Masrin Affirah