PETRA JAYA: Lebih 1,500 guru baharu di Sarawak yang berjaya dalam proses temu duga akan memulakan tugas di seluruh negeri menjelang pertengahan Januari 2025.
Pengarah Jabatan Pendidikan Sarawak (JPNS), Omar Mahli berkata Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) telah menyelesaikan proses temu duga dan keputusan telah diberikan kepada calon yang berjaya.
“Calon telah menerima keputusan masing-masing dan kini Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menyelaraskan penempatan melalui sistem e-graduan.
“Saya dimaklumkan bahawa penempatan akan selesai dan mereka dijangka memulakan tugas di seluruh Sarawak pada pertengahan Januari,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, di sini hari ini sempena pelantikannya sebagai Pengarah JPNS baharu.
Omar berkata, daripada lebih 12,000 calon yang disaring, 1,500 calon telah berjaya dipilih untuk memenuhi keperluan penempatan, dan seramai 300 guru baharu akan ditempatkan di sekolah menengah manakala selebihnya akan bertugas di sekolah rendah.
“Langkah ini diharapkan dapat menangani masalah kekurangan guru terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman sekali gus memperkukuh kualiti pendidikan di Sarawak,” katanya.
Sebagai Pengarah JPNS baharu, Omar menegaskan komitmennya untuk memperkukuh hubungan dengan kerajaan Sarawak, khususnya melalui Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD).
“Kami berhasrat untuk menjalinkan kerjasama erat dengan kerajaan Sarawak dan agensi berkaitan dengan lebih kerap melalui sesi libat urus.
“Ini penting untuk memastikan dasar pendidikan serta program baharu dapat difahami dan diterima dengan baik oleh masyarakat,” jelasnya.
Omar, yang sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) di Kementerian Pendidikan, menggantikan Datu Dr Azhar Ahmad yang bersara pada November lalu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Abang Johari dan kerajaan Sarawak atas sokongan terhadap usaha JPNS dalam memajukan sektor pendidikan di negeri ini. – UKAS