SARATOK: Seramai 15 individu ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam Ops Covid-19 di Kampung Tengah Kabong, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mordani Tanin berkata, mereka yang ditangkap itu merupakan warga tempatan yang berusia 15 sehingga 43 tahun.
“Kesemua 15 individu terbabit ditangkap berhubung kesalahan pelanggaran PKP di tiga lokasi rumah kosong di sekitar Kampung Tengah Kabong dalam Ops Covid-19 yang dilakukan kelmarin.
“Rumah-rumah kosong tersebut dipercayai dijadikan mereka tempat ‘port melepak’ sepanjang PKP itu dilaksanakan sejak 18 Mac lalu,” katanya.
Mordani berkata, semasa anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok telah terserempak dengan sekumpulan lelaki sedang melepak semasa melalukan rondaan di sekitar kampung di Kabong.
“Kesemua mereka yang ditahan gagal memberikan sebab atau alasan yang munasabah.
“Mereka yang ditangkap ini akan dituduh secepat mungkin di Mahkamah Sri Aman dan bakal menerima hukuman yang setimpal sebagaimana yang telah ditetapkan dalam PKP,” ujarnya.
“Saya ingin tegaskan kepada pengingkar tegar PKP yang merasakan dirinya ‘macho’ boleh melepak sesuka hati supaya memikirkan hukuman yang bakal mereka hadapi.
“Ingat kami bukan suka-suka hendak tangkap orang…oleh itu, patuhilah PKP dan duduk di rumah,” tegasnya.
Mordani turut memberi amaran keras kepada orang awam terutamanya golongan remaja di daerah itu bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bertindak tegas tanpa kompromi terhadap mereka yang masih ingkar.
“Mulai 15 April lalu, iaitu memasuki fasa ketiga PKP pihak polis tidak akan lagi berkompromi dan akan mengambil tindakan yang keras dan (mereka) akan dihadapkan terus ke mahkamah,” ujarnya.
Mordani berkata, IPD Saratok selama ini telah memberi nasihat, teguran, amaran dan kini bagi Fasa ketiga jika tidak patuhi PKP tindakan tangkap akan terus diambil.
Dalam pada itu, kesemua individu yang ditangkap di Kabong itu ditahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.
Terdahulu, Mordani memberitahu pada Ops Covid-19 yang dilakukan pada 13 April lalu, telah menyaksikan seramai 17 orang telah ditangkap di sekitar pekan Saratok.