SANTUBONG: Cip pertama yang direka oleh pelajar menerusi Pertandingan Reka Bentuk IC SMD 2025 dilancarkan hari ini, sekali gus menandakan pencapaian penting dalam pembangunan bakat semikonduktor Sarawak.
Pengerusi SMD Semiconductor merangkap Setiausaha Kewangan Negeri, Dato Sri Wan Lizozman Wan Omar, berkata pencapaian itu membuktikan keupayaan anak muda Sarawak dalam reka bentuk cip apabila diberi platform, bimbingan dan peluang yang sesuai.
Beliau berkata, seramai 11 jurutera turut menamatkan Program Penguasaan Semikonduktor Reka Bentuk IC Analog CENTEXS-SMD, manakala 16 peserta daripada empat pasukan berjaya ke peringkat akhir Pertandingan Reka Bentuk IC SMD 2025.
Katanya, inisiatif berkenaan menyokong hala tuju ‘Direka di Sarawak, Dibina untuk dunia’ dalam membangunkan kepakaran tempatan serta memperkukuh penyertaan Sarawak dalam rantaian nilai semikonduktor global.
“Untuk merealisasikan Pelan Hala Tuju Semikonduktor 2030, kita memerlukan ekosistem yang membolehkan bakat berkembang dan idea diterjemahkan kepada teknologi serta aplikasi sebenar,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu diterapkan menerusi Rumah Panjang Silikon Bersepadu (Integrated Silicon Longhouse) SMD, yang menghimpunkan kerajaan, industri, akademia dan institusi penyelidikan.
Dalam usaha menarik lebih ramai golongan muda, SMD turut melancarkan Maraton Reka Bentuk IC SMD (SMD IC Design Make-A-Thon) yang tahun ini menarik lebih 600 peserta daripada 64 institusi.
Beliau berkata, Pertandingan Reka Bentuk IC SMD pula memberi peluang kepada pelajar universiti mendalami reka bentuk IC, termasuk melihat proses reka bentuk mereka bergerak ke arah fabrikasi silikon sebenar.
“Industri semikonduktor tidak pernah berhenti berkembang. Teknologi sentiasa berubah dan kejayaan memerlukan kita terus ingin tahu, menyesuaikan diri serta komited untuk belajar,” katanya.
Sementara itu, SMD turut memperkukuh kerjasama strategik dengan ZETRO bagi teknologi semikonduktor berkaitan aeroangkasa, selain meneroka kerjasama dengan Gobi Partners dalam bidang modal strategik dan rangkaian pelaburan global.
Oleh Shikin Mahmud





