KUCHING: Sebuah pusat komuniti keperluan khas yang akan dibangunkan di Samarahan bakal memperluaskan akses kepada perkhidmatan intervensi awal bagi kanak-kanak berkeperluan khas.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, projek berkenaan kini memasuki peringkat pelaksanaan dan dijangka siap pada 2028.
Menurutnya, antara komponen yang akan ditempatkan di kompleks berkenaan ialah Pusat Intervensi Awal, selain kemudahan lain bagi menyediakan sistem sokongan menyeluruh kepada individu berkeperluan khas.
“Di dalam kompleks itu nanti, salah satu komponennya ialah Pusat Intervensi Awal dan komponen lain yang kita sediakan dengan objektif mewujudkan satu ekosistem holistik untuk individu berkeperluan khas dari sejak lahir sehingga akhir hayat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan pembukaan Estella Child Development Centre di sini, hari ini.
Fatimah berkata, pembangunan kemudahan baharu itu penting berikutan jumlah kanak-kanak yang memerlukan intervensi awal kini melebihi kapasiti tempat yang dapat disediakan.
Katanya, keadaan itu menunjukkan keperluan untuk menambah kemudahan intervensi awal, termasuk memperluaskan perkhidmatan berkenaan ke Samarahan.
Menurutnya, peningkatan permintaan turut didorong kesedaran dan penerimaan ibu bapa yang semakin baik sehingga lebih ramai tampil membawa anak mereka mendapatkan diagnosis dan intervensi awal sebelum memasuki alam persekolahan formal.
“Kesedaran dan penerimaan sangat penting. Dengan kerjasama ibu bapa, komuniti serta institusi pendidikan awal kanak-kanak, kita dapat memberikan sokongan padu kepada anak-anak ini,” katanya.
Dalam pada itu, Fatimah berkata, persediaan bagi pusat baharu di Samarahan turut mengambil kira keperluan tenaga kerja termasuk proses pengambilan dan latihan bagi memastikan perkhidmatan dapat dilaksanakan dengan berkesan apabila kemudahan itu beroperasi.
Oleh Norman B





