TYT seru rakyat jadi pencipta masa depan, bukan sekadar pengguna perubahan

Facebook
WhatsApp
PERUTUSAN...Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi sempena Sambutan Hari Malaysia 2026.

PETRA JAYA: Rakyat Malaysia, khususnya warga Sarawak, perlu mempunyai daya fikir baharu dalam mendepani cabaran zaman dengan menjadi pencipta kepada masa depan dan bukan sekadar pengguna kepada perubahan.

Menurut Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam perutusan sempena Sambutan Hari Malaysia 2026 berkata, Malaysia kini melangkah dalam era yang menuntut daya fikir baharu, dengan persaingan dunia semakin kompleks dipacu oleh kecerdasan buatan, ekonomi digital dan perubahan geopolitik.

“Dalam keadaan ini, kita tidak boleh sekadar menjadi pengguna kepada perubahan, sebaliknya hendaklah menjadi pencipta kepada masa depan,” katanya.

Beliau berkata Sarawak mempunyai kelebihan tersendiri untuk menjadi peneraju kepada pendekatan pembangunan yang berteraskan keseimbangan antara kemajuan ekonomi, pemeliharaan alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.

“Keseimbangan inilah yang akan menentukan kelangsungan kemakmuran untuk generasi akan datang,” ujar beliau.

Menurut Tun Wan Junaidi, kekayaan sebenar sesebuah negeri bukan hanya terletak pada sumber alamnya, tetapi pada keupayaan rakyat membina ilmu, inovasi dan akhlak.

“Negeri yang berjaya ialah negeri yang melahirkan warga yang berfikiran terbuka, berintegriti dan sentiasa bersedia menimba ilmu,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa dalam era kepesatan maklumat, rakyat perlu menjadi masyarakat yang celik fakta dan bijaksana dalam menilai sesuatu maklumat.

Katanya, kebebasan bersuara hendaklah disertai dengan rasa tanggungjawab agar ruang digital menjadi medan yang menyatukan, bukannya memecahbelahkan masyarakat.

Tun Wan Junaidi turut menggesa rakyat mengangkat budaya dialog yang matang kerana perbezaan pandangan adalah lumrah dalam sebuah negara demokrasi.

“Namun, perbezaan tidak seharusnya membawa kepada permusuhan. Sebaliknya, ia perlu menjadi ruang untuk melahirkan penyelesaian yang lebih baik,” katanya.

Menyentuh pembangunan Sarawak, beliau berkata masa depan negeri bergantung kepada kemampuan membina institusi yang diyakini rakyat, dengan integriti, ketelusan dan kebertanggungjawaban terus menjadi asas kepada setiap bentuk kepimpinan sama ada dalam sektor awam, swasta mahupun masyarakat.

Beliau berkata kemajuan sebenar ialah apabila tiada sesiapa yang tercicir daripada arus pembangunan, termasuk warga emas, orang kurang upaya, masyarakat luar bandar dan komuniti yang mudah terjejas.

Menurutnya, di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kerajaan Sarawak memberi fokus terhadap pembangunan kawasan luar bandar bagi merapatkan jurang ekonomi antara kawasan bandar dan luar bandar.

Beliau berkata penubuhan agensi pembangunan wilayah seperti Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), Agensi Pembangunan Hulu Rajang (URDA), Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) dan Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) membolehkan peruntukan kewangan disalurkan secara khusus untuk membina infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik di kawasan pedalaman.

“Langkah ini memastikan masyarakat peribumi serta penduduk kampung dan rumah panjang turut merasai arus pemodenan,” katanya.

Tun Wan Junaidi turut menyatakan harapan agar lebih ramai anak muda Sarawak tampil sebagai saintis, jurutera, pencipta pekerjaan, pengasas syarikat teknologi, penyelidik, usahawan sosial dan pemimpin masyarakat.

“Perkara ini amat penting kerana masa depan Sarawak bukan hanya bergantung kepada apa yang diwarisi, tetapi kepada apa yang berjaya mereka cipta,” jelasnya.

Dalam hal ehwal agama, beliau berkata kerajaan Sarawak telah membuktikan bahawa kepelbagaian kaum, agama dan budaya bukanlah satu halangan kepada kemajuan.

Menurutnya, Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) di bawah Jabatan Premier Sarawak merupakan antara contoh terbaik di Malaysia dalam menguruskan kepelbagaian agama secara inklusif.

Beliau berkata sebanyak RM685 juta telah disediakan sejak penubuhan UNIFOR pada 2017 untuk membantu membina, membaiki dan menyelenggara rumah ibadat serta sekolah-sekolah mubaligh.

“Pendekatan ini membuktikan bahawa kerajaan menghormati hak setiap rakyat untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing dalam suasana yang kondusif,” katanya.

Beliau turut menyeru supaya budaya kecemerlangan terus disemarakkan dalam setiap bidang termasuk pendidikan, penyelidikan, sukan, kesenian dan perkhidmatan awam bagi mencapai standard terbaik di peringkat antarabangsa.

Tun Wan Junaidi berkata Hari Malaysia mengajar bahawa kejayaan tidak datang melalui jalan mudah, sebaliknya menuntut kesabaran, kebijaksanaan, kesatuan hati dan pengorbanan.

“Saya amat yakin bahawa dengan perpaduan yang utuh, tadbir urus yang baik dan rakyat yang berilmu, Malaysia akan terus muncul sebagai sebuah negara yang dihormati, berdaya saing dan mampu menjadi contoh kepada masyarakat dunia,” ujarnya.

Beliau berkata Hari Malaysia tidak seharusnya sekadar menjadi sambutan tahunan, tetapi titik pembaharuan azam untuk membina negara yang lebih adil, lebih progresif dan lebih berperikemanusiaan.

Tun Wan Junaidi turut menggesa seluruh rakyat Malaysia, khususnya warga Sarawak, supaya terus memelihara semangat saling percaya, saling menghormati dan saling mengangkat antara satu sama lain.

Tun Wan Junaidi kemudian mengucapkan Selamat Menyambut Hari Malaysia 2026 kepada seluruh rakyat Malaysia dan berharap negara terus dilimpahi keamanan, kemakmuran serta keberkatan, manakala Sarawak terus menjadi contoh sebuah negeri yang maju, harmoni dan disegani.

Oleh Shikin Mahmud