BINTANGOR: Sebanyak 14 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) telah menyertai Program Gerak Kerja KRT Sihat: Sukan Perpaduan KRT Daerah Meradong 2024 di sini semalam.
Hadir bagi merasmikan program adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Koung Hiing.
Katanya, program anjuran KRT Daerah Meradong itu adalah sesuai untuk menerapkan budaya bersukan dalam kalangan masyarakat di Daerah Meradong.
“Saya dimaklumkan bahawa pelbagai aktiviti telah dilaksanakan pada tahun ini di Daerah Meradong.
“Dimaklumkan juga, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Sarawak melaksanakan Skim Rondaan Sukarela (SRS) 1 Sarawak yang diadakan setiap bulan secara serentak di seluruh Sarawak,” katanya ketika berucap di Dewan Masyarakat Bintangor.
Selain itu, katanya, setiap KRT perlu melaksanakan 12 kali aktiviti dan enam kali mesyuarat setiap tahun.
“Sesungguhnya saya menyokong penuh program yang dirancang oleh KRT Daerah Meradong bagi memupuk perpaduan dan silaturahim dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.
“Dalam pada itu, terdapat 11 SRS di bawah KRT Daerah Meradong yang telah mula bergerak aktif.
“Terima kasih kepada SRS yang telah bersama-sama menjaga kesejahteraan dan keselamatan di kawasan kediaman masing-masing,” katanya.
Beliau berkata dengan ada SRS, ia dapat membantu pihak berkuasa dalam mencegah jenayah dan masalah sosial dalam kalangan masyarakat terutamanya di Daerah Meradong.
Pada program tersebut Koung Hiing turut mengumumkan akan menyalurkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada 14 KRT Daerah Meradong dengan jumlah keseluruhan RM28,000, iaitu RM2,000 untuk setiap KRT.
Turut hadir ialah Pegawai Perpaduan Bahagian Sarikei, Erma Farida Yusuf dan Pengerusi Pengelola, Stra Lin.
Oleh Earl Anek