
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah mengimport dan mengedarkan 1,053,011 juta biji kelapa tua atau 1,053 tan metrik dengan nilai keseluruhan RM2.42 juta setakat 23 Mac tahun ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata bekalan itu akan disalurkan melalui 42 Pusat Operasi FAMA di seluruh negara dan dipasarkan ke outlet peruncitan FAMA serta pemborong utama bagi memastikan ketersediaan bekalan kelapa di pasaran.
“Melalui pelan jangka masa pendek, kementerian sedang melaksanakan tiga langkah intervensi iaitu yang pertama meningkatkan jumlah import bekalan kelapa tua dari Indonesia, kedua mencari dan mendapatkan bekalan kelapa tua dari Sabah dan Sarawak.
“Serta yang ketiga inisiatif FAMA dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) untuk mendapatkan bekalan kelapa tua dari peladang dan pekebun kecil di seluruh negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Koh Nai Kwong mengenai persediaan kementerian bagi memastikan negara tidak mengalami krisis bekalan kelapa pada masa akan datang.
Arthur, berkata bagi pelan jangka panjang pula, KPKM amat menggalakkan penanaman kelapa secara meluas bagi meningkatkan keupayaan pengeluaran tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada import.
“Dengan langkah-langkah ini, KPKM komited untuk memastikan bekalan kelapa sentiasa mencukupi serta harganya terus kompetitif demi kesejahteraan pengguna dan industri berasaskan kelapa,” katanya. – Bernama