KUCHING: Lebih 10,000 ekor ayam yang diternak di sebuah ladang ternakan di Jalan Matang Batu 8, Kuching rentung dalam sebuah kebakaran, awal pagi tadi.
Jurucakap Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 3.42 pagi.
Bertindak atas laporan, sepasukan anggota dengan kekuatan seramai 19 orang dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dibantu BBP Batu Lintang ke lokasi.
”Kebakaran melibatkan satu blok reban ayam jenis struktur tidak kekal berkeluasan 128 kali 14 meter per segi telah terbakar 100 peratus.
”Operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran 400 kaki dua nozel air dari jentera dan satu aliran 100 kaki satu nozel manakala BBP Batu Lintang menggunakan satu aliran 200 kaki dua nozel,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, pasukan keluaran operasi mengalami kesukaran ketika memadam kebakarab berikutan ketiadaan pili bomba dan tiada sumber air terbuka berhampiran.
”Pasukan bomba terpaksa berulang-alik mengambil air dari pili terdekat dalam jarak satu kilometer (KM) dari lokasi kejadian.
”Bagaimanapun, api berjaya dikawal pada 4.42 minit pagi dan kerja-kerja baik pulih terus dijalankan bagi memastikan keadaan kembali selamat,” ujarnya.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 10.53 pagi setelah pasukan keluaran operasi memastikan kebakaran padam sepenuhnya.