Penunggang motosikal cedera

ROSAKā€¦ Keadaan motosikal mangsa selepas terlibat kemalangan di Jalan Taman Bulatan di Miri,semalam.

MIRI : Seorang penunggang motosikal cedera selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Taman Bulatan di sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 11.30 pagi ketika mangsa berusia lingkungan 30-an dikatakan dalam perjalanan dari arah Krokop menghala ke Bulatan Saberkas.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta dari arah bertentangan tiba-tiba membelok masuk ke simpang menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian pintu belakang sebelah kanan kereta berkenaan.

Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal terbabit mengalami kecederaan di bahagian tangan kiri manakala pemandu kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mangsa cedera kemudiannya dihantar ke Hospital Miri dengan menggunakan ambulans untuk menerima rawatan lanjut.