SAMARAHAN: Pembinaan Kompleks Kluster Koko Sarawak menjadi salah satu mercu tanda penting dalam pembangunan koko, terutamanya di Sarawak.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, pembinaan kompleks tersebut menggunakan peruntukan sebanyak RM4.6 juta dengan keluasan 15 hektar.
“Kompleks Kluster Koko ini merangkumi pusat pentadbiran, pusat kemudahan pemprosesan biji koko basah dan kering, pemprosesan produk separa siap koko, proses pembuatan blok coklat, premis pembuatan coklat, kafe dan galeri jualan produk coklat.
“Kompleks ini juga mempunyai koperasi yang kita ‘anak angkatkan’ agar boleh bergabung dengan Kompleks Koko ini, sekali gus menjadi model.
“Gabungan ini memperlihatkan kita bagaimana produk huluan dan produk hiliran disatukan untuk dijadikan model atau contoh kepada pekebun-pekebun yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kompleks Kluster Koko sempena Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia 2021 di Kompleks Kluster Koko Sarawak, di sini, semalam.
Menjelas lanjut, Zuraida memberitahu sebanyak dua lagi kompleks akan dibina di bawah Program Pembangunan Rantaian Kluster Koko, iaitu di Ranau, Sabah dan di Nilai, Negeri Sembilan
Dalam perkembangan lain, beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Ampang mendedahkan akan mempertimbangkan pelawaan untuk mengetuai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
“Setakat ini, saya tidak ada terima apa-apa tawaran lagi dan misalnya ada tawaran, saya akan pertimbangkan, InsyaAllah.
“Kalau tawaran daripada sesiapapun, saya akan pertimbangkan, tak boleh tolak,” katanya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA