SARATOK: Daerah Saratok, terdapat banyak kumpulan zikir marhaban yang aktif dan ia merupakan antara aktiviti bagi memenuhi masa lapang masyarakat di sini.
Kumpulan zikir ini selalunya menerima undangan bagi setiap majlis perkahwinan dan majlis cukur rambut untuk memenuhi pengisian atur cara serta memeriahkan lagi sesuatu majlis.
Salah sebuah kumpulan zikir yang telah diwujudkan sejak lima bulan lepas ialah Kumpulan Zikir Marhaban Buloh Inn yang diketuai Wahid Taiben di Kampung Bunga Raya Saratok.
Kumpulan zikir ini dianggotai oleh seramai 22 ahli terdiri dalam kalangan masyarakat Saratok dan sekitarnya. Kumpulan ini telahpun beberapa kali menerima undangan berzikir di sekitar Saratok.
Apa yang uniknya Kumpulan Zikir Marhaban Buloh Inn ini, pada setiap malamnya akan berkumpul untuk mengadakan latihan secara santai di kawasan kediaman Ketua Kampung Abang Ibrahim di Kampung Bunga Raya.
Selain daripada aktiviti berzikir, Wahid dan rakan-rakannya sering mengadakan bacaan Surah Yasin pada setiap malam Jumaat.
Wahid ketika ditemui menyatakan aktiviti seperti ini selain daripada merapatkan lagi hubungan ukhwah dalam kalangan ahli, ia juga sebagai warisan turun-temurun untuk dinikmati golongan muda masa kini.
Katanya, meskipun zaman kini banyak dilimpahi teknologi serba moden, janganlah ia dijadikan alasan untuk menghilangkan budaya lama yang sudah menjadi tradisi masyarakat Islam di negeri ini, khasnya.
“Alhamdulillah Kumpulan Zikir Marhaban Buloh Inn ini terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan yang menariknya, ahli kami terdiri dari warga kampung di Saratok seperti Kampung Melango, Kampung Hulu Kampung Bunga Raya dan kawasan perumahan berhampiran,” katanya.