Rumah dihempap pokok tumbang, sekeluarga terima bantuan

Facebook
WhatsApp
KEADAAN rumah di Batu 11, Kuching, yang rosak selepas dihempap pokok tumbang akibat angin kencang.

KUCHING, 5 Oktober: Sekeluarga di Batu 11, Kuching, menerima bantuan selepas rumah mereka rosak teruk akibat dihempap sebatang pokok besar yang tumbang ketika angin kencang.

ADUN Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chiang, bersama pasukannya segera mengunjungi keluarga berkenaan selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu bagi meninjau keadaan rumah serta mengenal pasti keperluan segera mereka.

Lo turut menyampaikan bantuan kewangan dan barangan keperluan bagi meringankan beban keluarga terbabit susulan kerosakan yang dialami.

“Ketika berdepan bencana, keluarga yang terjejas memerlukan bukan sahaja bantuan untuk memenuhi keperluan harian, tetapi juga sokongan dan keprihatinan daripada masyarakat,” katanya.

LO Khere Chiang bersama pasukannya membantu keluarga yang terjejas selepas rumah mereka dihempap pokok tumbang di Batu 11, Kuching.

Persatuan Bulan Sabit Merah Cawangan Sarawak turut tampil membantu dengan menyumbangkan kit kebersihan bagi memenuhi sebahagian daripada keperluan segera keluarga berkenaan.

Lo merakamkan penghargaan kepada pemimpin masyarakat, pasukan sukarelawan, Persatuan Bulan Sabit Merah Cawangan Sarawak serta semua pihak yang tampil memberikan bantuan dengan segera.

Beliau berkata kerjasama pelbagai pihak itu membuktikan keprihatinan masyarakat terhadap keluarga yang berdepan kesusahan akibat bencana.

“Saya berharap keluarga ini dapat mengatasi kesukaran yang dihadapi dan kembali menjalani kehidupan yang selamat serta stabil dalam masa terdekat,” katanya.

Oleh Connie Chieng