
KUALA LUMPUR: Empat figura muzik tanah air – Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel – bakal tampil dalam konsert Empat Live In Kuala Lumpur 2025 yang akan berlangsung pada 18 Oktober depan di Mega Star Arena.
Konsert anjuran Anuar Zain Network dengan kerjasama Altus ProHouse itu menghimpunkan dua generasi penghibur dalam satu persembahan dengan keempat-empat artis mempunyai pertalian kekeluargaan.
Konsert juga merupakan kolaborasi julung kali antara adik-beradik Ziana dan Anuar bersama-sama dengan anak saudara mereka Ernie dan suaminya, Syamel.
“Ini adalah sebuah projek yang sangat mengujakan… saya dan kakak, Ziana serta anak buah kami Ernie dan suaminya, Syamel akan terlibat dalam industri yang sama sebagai penghibur dan bakal menghiburkan anda di atas satu pentas,” kata Anuar dalam kenyataan.
Beliau berkata idea menganjurkan konsert tersebut telah lama dirancang, namun hanya kini dapat direalisasikan setelah mengambil kira jadual kerja keempat-empat mereka.
Sementara itu, Ziana menyifatkan konsert tersebut sebagai satu temasya istimewa buat peminat untuk menikmati karya dua generasi dalam satu malam.
“Saya juga tidak mahu menjanjikan sesuatu yang luar biasa tapi datanglah dan nikmati Empat Live In Kuala Lumpur 2025 dengan sebaiknya… konsert ini juga akan menjadi bukti bahawa peminat kita tidak hanya menyokong seorang sahaja penyanyi kegemaran mereka tetapi selalu memberi dukungan kepada industri muzik tempatan,” katanya.
Ernie pula menyatakan rasa berdebar namun teruja kerana dapat bergandingan dengan bapa dan ibu saudaranya yang telah lama menjadi idolanya.
“Saya menangis selepas dilamar merealisasikan konsert ini… Empat Live In Kuala Lumpur 2025 adalah sebuah impian saya dari dulu lagi,” katanya.
Bersetuju dengan Ernie, Syamel menyifatkan penglibatannya dalam konsert tersebut sebagai peluang luar biasa yang menaikkan lagi tahap karier seninya.
“Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri; masing-masing adalah legenda… kerjasama kami berempat menerusi energi masing-masing boleh membuahkan konsep persembahan yang menarik,” katanya.
Konsert ini diarahkan oleh Jennifer Thompson dengan Sze Wan sebagai pengarah muzik bersama pemuzik tempatan berpengalaman.
Tiket akan mula dijual Jumaat ini pada 10 pagi menerusi www.ticket2u.com.my/empatkl, bermula RM288 (Bronze) hingga RM2,088 (Royal Twin Seat – dua tiket), manakala pembeli dalam kalangan Orang Kurang Upaya boleh menghubungi +6011-1190 0518 untuk pembelian. – Bernama