Celine Dion kembali beraksi dalam konsert penuh emosi

Facebook
WhatsApp
DION menahan sebak ketika konsert pembukaan siri persembahan residensinya, 'Celine Dion Paris 2026', di Plenitude Arena, Nanterre, di pinggir Paris, Perancis. - Foto agensi

PARIS: Celine Dion kembali ke pentas yang sekian lama dinantikan di hadapan puluhan ribu peminat di Paris pada Sabtu, mengadakan konsert pertamanya dalam tempoh enam tahun dengan air mata mengalir di wajahnya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Penyanyi Kanada berusia 58 tahun itu, yang jarang membuat persembahan secara langsung sejak beberapa tahun kebelakangan ini, membuka konsert dengan lagu On Ne Change Pas (We Don’t Change) dan jelas kelihatan sebak sepanjang persembahan sambil mengesat air mata.

“Saya berjanji kepada diri sendiri bahawa saya tidak akan menangis,” kata Dion, sambil mengakui bahawa beliau tidak dapat menunaikan janji itu.

Di Plenitude Arena berhampiran Paris yang dipenuhi penonton, beliau berkata kepada peminat: “Malam ini, saya mahu menyanyi untuk anda, menyanyi untuk diri saya sendiri, menyanyi untuk kehidupan.”

Peminat datang dari seluruh Eropah untuk menghadiri konsert itu.

Dion menghidap sindrom orang kaku, penyakit autoimun yang jarang berlaku menyebabkan keupayaannya untuk melakukan perjalanan atau membuat persembahan bergantung pada keadaan kesihatannya pada hari berkenaan.

Beliau mengumumkan kepulangannya ke pentas konsert pada awal tahun ini.

“Saya berasa sihat, saya kuat, saya teruja, sudah tentu, sedikit gementar,” katanya ketika mengumumkan konsert kemunculan semulanya.

Dion merupakan antara penyanyi paling berjaya dalam generasinya dengan jualan lebih 200 juta album. Antara lagu popularnya ialah My Heart Will Go On dan I’m Alive. – Bernama