KANGAR: Pelari pecut wanita negara Zaidatul Husniah Zulkifli mencipta sensasi apabila berjaya meleburkan rekod kebangsaan 100 meter (m) wanita milik G. Shanti pada Kejohanan Olahraga Terbuka Perlis hari ini.
Zaidatul Husniah, 31, yang lebih mesra disapa sebagai ‘Adik’ itu mencatat masa 11.49 saat (s) memadam rekod G. Shanti, 11.50s yang dilakukan di Kuala Lumpur pada 7 Mei 1993, sekali gus menyambar pingat emas pada kejohanan yang berlangsung di Stadium Tuanku Syed Putra di sini.
Pingat perak menjadi milik Nur Afrina Batrisyia Rizal dengan catatan 11.91s, manakala gangsa diraih Azreen Nabila Alias ketiga (12s).
Untuk rekod, Zaidatul Husniah sebelum ini pernah mengatasi rekod Shanti pada 2017 menerusi catatan 11.36s, namun catatan itu tidak diiktiraf atas alasan bantuan angin.
Sementara itu, Zaidatul Husniah berkata umur bukanlah penghalang buatnya untuk masih membuktikan persembahan berbisa seperti yang ditampilkan hari ini.
“Atas kerja keras Adik selama ini, yang penting bukan senang umur macam saya dapat buat masa seperti ini. Saya buktikan bukan faktor umur yang boleh buat kita jatuh.
“Saya buktikan, tanpa usaha keras kita tidak akan dapat apa yang kita mahu, tadi semasa lari, saya berseronok sahaja, memang tak sangka boleh rekod masa seperti itu,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau turut berharap sokongan yang diberikan bukan sahaja tertumpu kepada dirinya tetapi juga kepada rakan-rakan atlet lain.
Dalam pada itu, jurulatih pecut negara Mohd Poad Md Kassim berkata beliau bersyukur dengan kejayaan Zaidatul Husniah dan ia merupakan dalam jangkaan kerana pelari pecut wanita negara berkenaan menunjukkan potensi semasa latihan untuk memecahkan rekod kebangsaan itu.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Zaidatul kerana berjaya memecahkan rekod kebangsaan berkenaan. Terima kasih juga kepada rakan seperjuangan Zaidatul yang telah berlatih bersama-sama, tanpa mereka, Zaidatul mungkin tidak dapat melakukan catatan masa seperti pagi ini,” katanya kepada Bernama.
Mohd Poad berkata pihaknya mempunyai sasaran untuk Zaidatul Husniah berentap pada Sukan SEA dan berada di atas podium.
— BERNAMA