Yahos komited lahir tenaga kerja kompeten dalam industri makanan

Facebook
WhatsApp
SERAMAI 30 peserta menyertai Kursus Pengendalian Makanan anjuran Sekolah Kemahiran Yahos di MJC Batu Kawa, di sini kelmarin. Foto: Yahos School Of Skills

KUCHING: Seramai 30 peserta menyertai Kursus Pengendalian Makanan anjuran Sekolah Kemahiran Yahos di MJC Batu Kawa, di sini kelmarin, sebagai usaha meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai kepentingan pengendalian makanan yang bersih, selamat serta berkualiti.

Kursus berkenaan memberi penekanan terhadap amalan terbaik dalam industri makanan, khususnya berkaitan aspek kebersihan, keselamatan makanan serta tanggungjawab pengendali dalam memastikan makanan yang disediakan sentiasa memenuhi piawaian keselamatan pengguna.

Sepanjang kursus berlangsung, peserta diberikan pendedahan mengenai pelbagai aspek penting termasuk kebersihan diri, pengurusan kebersihan peralatan dan kawasan penyediaan makanan, kaedah penyimpanan makanan yang betul serta langkah mencegah pencemaran silang.

Pengetahuan tersebut penting bagi memastikan proses penyediaan makanan dilakukan secara sistematik dan selamat, sekali gus mengurangkan risiko pencemaran, keracunan makanan serta penyakit bawaan makanan.

Pengarah Urusan Sekolah Kemahiran Yahos, Natasha Nasa Douglas berkata, penganjuran kursus itu merupakan sebahagian daripada komitmen pihaknya untuk memperkasa kemahiran peserta menerusi latihan yang memenuhi keperluan industri.

Menurutnya, aspek kebersihan dan keselamatan makanan merupakan elemen penting yang perlu diberi perhatian, khususnya dalam sektor hospitaliti dan makanan.

“Kursus Pengendalian Makanan ini merupakan salah satu inisiatif Sekolah Kemahiran Yahos dalam memperkasa pengetahuan dan kemahiran peserta, khususnya dalam aspek kebersihan serta keselamatan makanan yang menjadi elemen penting dalam industri hospitaliti dan makanan.

“Kami percaya latihan seperti ini bukan sahaja memberikan pendedahan mengenai amalan pengendalian makanan yang betul, malah membantu membentuk sikap lebih bertanggungjawab, berdisiplin dan profesional dalam kalangan pengendali makanan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Sekolah Kemahiran Yahos akan terus komited menyediakan program latihan berasaskan kemahiran yang memenuhi keperluan industri, selain membantu melahirkan tenaga kerja kompeten dan bersedia menghadapi cabaran pasaran pekerjaan semasa.

Katanya, bidang makanan dan hospitaliti memerlukan tenaga kerja yang bukan sahaja mempunyai kemahiran teknikal, malah memahami kepentingan pematuhan terhadap standard kebersihan dan keselamatan makanan.

Penganjuran kursus itu turut selaras dengan peranan Sekolah Kemahiran Yahos dalam memperluaskan akses kepada pendidikan dan latihan kemahiran berteraskan industri (TVET), khususnya dengan menyediakan peluang kepada masyarakat meningkatkan kompetensi serta kebolehpasaran dalam sektor pekerjaan.

Ilmu dan kemahiran yang diperoleh sepanjang kursus diharap dapat dimanfaatkan peserta dalam kerjaya dan kehidupan seharian, sekali gus menyumbang kepada pembentukan pengendali makanan yang lebih berpengetahuan, profesional serta mengutamakan keselamatan pengguna.

“Tahniah dan syabas diucapkan kepada kesemua 30 peserta atas komitmen serta kesungguhan yang ditunjukkan sepanjang mengikuti kursus berkenaan,” tambah Natasha.

Oleh Adi Safarman