KUCHING: Sekolah Kemahiran YAHOS terus membuktikan keupayaannya melahirkan bakat kulinari berdaya saing apabila berjaya membawa pulang sembilan pingat serta satu diploma pada pertandingan berprestij Borneo Culinary World Cup (BCWC) 2026, baru-baru ini.
Pencapaian itu diraih menerusi penyertaan pelajar dan tenaga pengajar YAHOS dalam pelbagai kategori pertandingan kulinari sepanjang dua hari kejohanan berlangsung.
Kejayaan berkenaan bukan sahaja membanggakan institusi tersebut, malah membuktikan tahap kemahiran, kreativiti dan keyakinan peserta dalam menampilkan hasil masakan yang memenuhi standard pertandingan kompetitif.
Dalam saingan itu, dua peserta YAHOS berjaya meraih pingat perak, masing-masing Requalmie Singka menerusi kategori Pasta Challenge dan Edwin Law dalam kategori Modern Western Fish/Seafood.
Tujuh lagi peserta pula menyumbang pingat gangsa menerusi kategori masing-masing, sekali gus melengkapkan pencapaian sembilan pingat yang diraih YAHOS pada kejohanan berkenaan.
Antara penerima pingat gangsa ialah Jek Kranchman menerusi kategori Freestyle Vegetarian, Eleanor Tingga bagi 6 Types of Malaysian Borneo Kuih Display dan Lizarolia dalam kategori Freestyle Borneo Noodles.
Turut meraih gangsa ialah Dayang Suhana bagi kategori Main Course Rendang, Synthia Triana menerusi Flora & Fauna Cake, Cornelius Uncat dalam Modern Western – Poultry serta Jordan Kenneth bagi Modern Western – Beef/Lamb.
Tidak ketinggalan, Alexson Linggie turut mencipta kejayaan apabila menerima Diploma menerusi kategori Freestyle Dayak Cuisine.
Pengarah Urusan Sekolah Kemahiran YAHOS, Natasha Nasa Douglas Uggah, berkata pencapaian tersebut membuktikan keberkesanan pendekatan latihan berasaskan kemahiran yang diterapkan institusi itu.
Menurutnya, pendekatan berkenaan berjaya membentuk individu yang kreatif, kompeten serta mempunyai keyakinan untuk bersaing dalam bidang kulinari pada peringkat lebih tinggi.
Beliau berkata kejayaan sembilan pingat dan satu diploma itu bukan sahaja menjadi kebanggaan YAHOS, malah mencerminkan usaha berterusan institusi berkenaan dalam memperkasa pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET).
“Setinggi-tinggi tahniah kepada semua peserta, tenaga pengajar dan pasukan sokongan yang telah memberikan komitmen serta dedikasi tinggi,” katanya dalam satu kenyataan kepada media semalam.
Natasha berkata penyertaan dalam pertandingan seperti BCWC turut memberi ruang kepada pelajar menguji kebolehan, memperluaskan pengalaman dan meningkatkan keyakinan diri menerusi pendedahan kepada standard pertandingan kulinari yang kompetitif.
Menurutnya, pengalaman sedemikian penting dalam menyediakan pelajar menghadapi keperluan sebenar industri makanan dan hospitaliti yang semakin mencabar serta memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Beliau berkata YAHOS akan terus memperkukuh kualiti latihan, inovasi dan pendekatan pembelajaran berorientasikan industri bagi melahirkan tenaga profesional muda yang mampu memenuhi keperluan industri serta mengangkat bakat tempatan ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Oleh Adi Safarman





