CONNIE CHIENG
KUCHING: Kerajaan seharusnya mengeluarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk 23 sektor ekonomi yang masih tidak dibenarkan untuk beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dijalankan.
Menurut Ahli Dewangan Undangan Negeri (ADUN) Padungan, Wong King Wei, memandangkan hampir kesemua sektor ekonomi telah dibenarkan untuk beroperasi bermula 12 Mei, kerajaan sepatutnya mempertimbangkan kebenaran untuk sektor-sektor yang belum boleh beroperasi seperti kedai gunting rambut, kedai kecantikan dan fotografi untuk beroperasi.
“Hampir kesemua sektor ekonomi telah tidak beroperasi selama dua bulan dan sekiranya masih ada sektor yang belum boleh bermula operasi, kita mungkin akan melihat lebih banyak yang akan gulung tikar dan ini akan menyebabkan kadar pengangguran yang tinggi,” kata Wong.
Beliau walau bagaimanapun memahami kesukaran yang dihadapi oleh pihak kerajaan yang perlu membuat satu keputusan yang wajar di antara mengekang wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi.
Namun demikian, Wong berkata kerajaan juga perlu mengambil berat terhadap sektor ekonomi yang terjejas semenjak perlaksanaan PKP.
“Apa yang saya tidak faham adalah kerajaan membenarkan perhimpunan yang tidak melebihi 20 orang dan juga aktiviti-aktiviti luar yang melibatkan tidak lebih dari 10 orang di perayaan-perayaan yang akan datang.
“Sekiranya ini dibenarkan, kenapa sektor ekonomi seperti kedai gunting rambut dan kedai kecantikan tidak dibenarkan beroperasi?” tanya Wong.
Beliau berkata sektor ekonomi ini seharusnya dibenarkan juga untuk beroperasi berdasarkan SOP dan temu janji yang dibuat dengan jumlah pelanggan yang perlu diterhadkan pada satu masa.
Sebagai alternatif, Wong berkata kerajaan boleh memberi bantuan kewangan kepada sektor sektor ekonomi ini supaya mereka dapat mengatasi cabaran yang dihadapi akibat wabak ini.