SIBU: Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dr Annuar Rapa’ee menyarankan supaya diwujudkan suatu dokumen atau penulisan sejarah yang lengkap mengenai peranan dan pengorbanan besar Sarawak dalam pembentukan Malaysia.
Jelasnya, sejarah pembentukan Gagasan Malaysia bukan sahaja harus dipelajari, tetapi juga harus difahami oleh segenap lapisan masyarakat bagi mengelak kekeliruan.
“Sarawak memainkan peranan penting di dalam penubuhan Malaysia. Tanpa persetujuan rakyat Sarawak, tanpa kebijaksanaan pemimpin Sarawak pada masa tersebut, tidak akan wujud sebuah negara yang bernama Malaysia.
“Sebab itu, rakyat Sarawak mesti memahami apakah tujuan, signifikasi dan kepentingan Sarawak di dalam penubuhan Malaysia pada tahun 1963,” katanya.
Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam itu berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Merdeka @ Komuniti (Kayuhan Merdeka 2020) bagi kawasan Dewan Undangan negeri Nangka di Dewan MUC di sini, semalam.
Program berkenaan dianjurkan Jabatan Penerangan Malaysia Daerah Sibu.
Katanya, kewujudan sebuah dokumen atau penulisan sejarah yang lengkap akan dapat dihayati dan difahami oleh generasi sekarang dan akan datang mengenai kedudukan, kepentingan dan pengorbanan Sarawak dalam Malaysia supaya gagasan ini dapat diteruskan.
“Ramai yang masih mengatakan Sarawak menyertai Malaysia. Tidak… Sarawak adalah satu negeri atau sebuah negara pada ketika itu yang telah diberi pemerintahan sendiri pada 22 Julai untuk bersama-sama menubuhkan Gagasan Malaysia.
“Malaysia tidak wujud lagi pada masa tersebut, jadi bagaimana Sarawak boleh menyertai Malaysia,” tegasnya.
Dr Annuar juga berkata apabila rakyat di negeri ini masih keliru dengan sejarah penubuhan Malaysia, maka mudahlah orang luar memperkotak-katikan peranan Sarawak dalam keadaan masa kini.
Tegasnya, keadaan ini amat bahaya kerana rakyat Sarawak akan membuat kesilapan dan akan menuntut suatu yang tidak patut dituntut.
“Peranan ini bukan sahaja dari segi kemahuan kita untuk bersama-sama rakan kita di Semenanjung untuk menubuhkan Gagasan Malaysia, tetapi banyak pengorbanan juga yang harus kita lalui.
“Misalnya di dalam semangat persekutuan, kita tidak boleh memiliki sepenuhnya apa yang ada di Sarawak, kita telah bersetuju jika menubuhkan persekutuan ini, adanya kerajaan pusat yang mempunyai kepentingan dan tanggungjawab begitu juga sebaliknya kerajaan negeri,” jelasnya.
Hadir sama Timbalan Pengarah Penerangan Negeri Sarawak, Aziz Abdul Rahman, Pegawai Penerangan Bahagian Sibu, Rosman Zaini dan Pengerusi Kelab Melayu Kampung Nyabor (MUC), Anuar Taha.
Oleh Nurzilla Mohamad